SPRM teliti aduan campuran kargo petroleum

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti dakwaan berkaitan pencampuran atau penggabungan (commingling) kargo petroleum sebelum membuat tindakan susulan.

Menurut sumber, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Alam menyedari isu berkenaan dan perbincangan sedang berlangsung sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan.

“Sebarang kenyataan mesti datang daripada Ketua Pesuruhjaya,” kata sumber.

Abdul Halim turut menerima surat bertarikh 18 Ogos daripada pemerhati industri maritim, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy yang meminta perkembangan berhubung laporan dikemukakan kepada SPRM pada 5 Jun lalu.

Jeyenderan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd berkata, hampir dua bulan berlalu tanpa maklum balas rasmi mengenai status laporan atau agensi yang bertanggungjawab mengendalikannya.

Katanya, syarikat berkenaan sudah mengemukakan dokumen dan maklumat kepada pihak berkuasa serta menghadiri mesyuarat dan memberikan penjelasan apabila diminta.

Beliau mahu kejelasan mengenai pengendalian operasi kargo petroleum terbabit termasuk aktiviti yang boleh diteruskan, perlu digantung serta agensi bertanggungjawab membuat keputusan.

Menurutnya, isu itu bukan sekadar pertikaian komersial kerana berpotensi menjejaskan integriti dan kebolehkesanan (traceability) kargo petroleum, pematuhan peraturan, hasil kerajaan serta akauntabiliti rantaian bekalan.

Pada 14 Ogos lalu, White House Office of Trade and Manufacturing Policy menamakan Malaysia antara lebih 40 negara yang didakwa berisiko memudahkan pengelakan tarif menerusi rangkaian transshipment yang dikaitkan dengan China.

Laporan bertajuk The Great Transshipment Scam: Rise, Scope, and Costs itu meletakkan Malaysia dalam kategori Tier 2 bersama Brazil, Indonesia, Thailand, Turkiye dan Vietnam.

Laporan berkenaan mendakwa pelabuhan laut dalam, hab pembuatan dan zon perdagangan bebas di Malaysia berpotensi digunakan sebagai laluan untuk mengalihkan barangan dari China bagi mengelakkan tarif Amerika Syarikat.

Ia turut menyorot Koridor Perindustrian Penang-Kulim dan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang sebagai kawasan yang perlu diberi perhatian.-UTUSAN

 

Scroll to Top