SPRM terus komited jaga kebajikan saksi siasatan

SPRM terus komited jaga kebajikan saksi siasatan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil pelbagai langkah penambahbaikan untuk memastikan kebajikan individu yang hadir membantu siasatan di pejabat mereka sentiasa terpelihara.

Ia dilakukan sejak kejadian membabitkan mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui meninggal dunia di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengiktiraf keputusan daripada pelbagai siasatan yang dijalankan berhubung kes kematian Beng Hock sepanjang 16 tahun lalu.

Menurutnya, ia termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2011, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 serta siasatan terkini oleh Polis Diraja Malaysia yang diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara.

“Walaupun siasatan terkini tidak menemui bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang, SPRM tetap memandang serius kejadian itu.

“Ia adalah satu insiden hitam yang memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang tetapi juga kepada seluruh warga SPRM dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, atas dasar prihatin, beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang ditanggung sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, sejak kejadian berkenaan, SPRM komited untuk memperbaiki kelemahan lalu dan berusaha membina semula kepercayaan rakyat serta sudah mengambil pelbagai langkah penambahbaikan untuk memastikan kebajikan individu yang hadir membantu siasatan sentiasa terpelihara.

“Antara langkah penambahbaikan yang sudah dilaksanakan ialah mewujudkan Bilik Rakaman Bervideo untuk merekod pernyataan saksi, orang kena tangkap atau suspek, mewujudkan Bilik Temu Bual Saksi di aras bawah bagi memastikan akses lebih mudah dan pemantauan yang lebih telus.

“Selain itu, kamera litar tertutup sudah dipertingkatkan dengan ciri berteknologi tinggi, kuantiti ditambah dan ditempatkan di lokasi strategik bagi mengawas dan merekod pergerakan serta perlakuan setiap orang yang memasuki premis SPRM.

“Kompleks Bangunan SPRM dilengkapi pemasangan jeriji besi selaras dengan garis panduan pihak berkuasa, penggunaan ‘Body Worn Camera’ dalam setiap operasi siasatan bagi merakam aktiviti operasi dan memastikan integriti pegawai siasatan terjaga.

“Menggunakan teknik soal siasat model PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation) yang dipraktik di United Kingdom. Teknik yang menekan aspek keberhasilan dan keselamatan sudah diperkenal dan diadaptasi sebagai MACC PEACE,” katanya.

Azam berkata, pihaknya juga mengambil maklum kerajaan sudah membayar pampasan sebanyak RM600,000 kepada keluarga mendiang serta tambahan RM60,000 bagi menampung kos guaman sebagai penyelesaian penuh dan muktamad mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 pada 12 Mei 2015.

Bagaimanapun, katanya, sebagai tanda keprihatinan, SPRM bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang dalam jumlah yang akan ditentukan kelak bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang.

Katanya, pihaknya juga kekal komited untuk menegakkan integriti dan ketelusan dalam setiap aspek tugasan serta memperkukuh usaha penambahbaikan institusi secara berterusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top