SPRM tidak tunduk tekanan media sosial, bertindak ikut fakta, undang-undang

SPRM tidak tunduk tekanan media sosial, bertindak ikut fakta, undang-undang

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan setiap tindakan agensi itu tidak dipengaruhi tekanan atau arahan luar yang dibentuk melalui sentimen di media sosial, sebaliknya berlandaskan undang-undang serta fakta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam perkembangan dunia digital sekarang, masyarakat bebas menilai pelbagai maklumat yang tersebar, namun tanggungjawab SPRM adalah memberikan penjelasan berdasarkan fakta dan keadaan sebenar.

“Hebahan di media sosial memang tidak boleh dihalang daripada dinilai oleh masyarakat. Apa yang SPRM boleh dan akan lakukan ialah menerangkan berdasarkan fakta dan kedudukan sebenar.

“Pempengaruh media sosial memainkan peranan penting sebagai saluran penyampai maklumat kepada masyarakat dan diharap dapat membantu menyebarkan maklumat tepat serta berasaskan fakta, selari dengan harapan kerajaan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Eksklusif Pempengaruh Media Sosial Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM tidak akan bertindak berdasarkan tekanan awam yang tidak memahami prinsip undang-undang kerana semua tindakan agensi itu tertakluk kepada Akta SPRM 2009.

“Dalam Akta SPRM 2009, sudah termaktub peruntukan undang-undang yang menghalang rasuah secara menyeluruh.

“Tiada agensi lain yang boleh menjalankan fungsi dan tugas SPRM kecuali SPRM sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, masyarakat kini mudah dipengaruhi oleh berita sensasi yang tular tanpa melalui tapisan awal.

“Berita sensasi yang tular tanpa tapisan awal ini boleh membentuk persepsi negatif terhadap sesuatu isu tanpa memahami konteks sebenar serta peruntukan undang-undang,” katanya.

Katanya, pempengaruh perlu memahami aspek undang-undang terlebih dahulu sebelum menjawab atau mengulas sesuatu khabar angin, bagi mengelakkan penyebaran maklumat dan fakta yang salah.

Untuk rekod, sesi dialog itu diadakan bagi membuka ruang dialog secara terbuka antara SPRM dan pempengaruh media sosial, termasuk mendengar pandangan, menjawab persoalan yang berbangkit serta memahami kebimbangan dan persepsi awam terhadap agensi penguat kuasa berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top