Frankfurt: Jaringan separuh masa kedua daripada Randal Kolo Muani dan Dominic Solanke membawa Tottenham Hotspur layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL) selepas menang 2-0 ke atas Eintracht Frankfurt, awal pagi tadi.
Spurs menguasai perlawanan dari awal hingga akhir namun terpaksa bekerja keras untuk mengesahkan kemenangan berikutan lebih enam pemain tidak dapat diturunkan, selain hanya memiliki seorang pemain senior di bangku simpanan.
Kelab London itu menamatkan fasa liga di tangga keempat daripada 36 pasukan, sekali gus memberi suntikan semangat buat skuad kendalian Thomas Frank selepas kempen domestik yang mengecewakan.
Frank berkata kemenangan itu membuktikan karakter pasukannya sambil menegaskan banyak perkara positif dapat dibina selepas ini.
“Menang 2-0 di tempat lawan dalam UCL satu pencapaian yang mengagumkan. Banyak perkara positif, namun kami perlu terus meningkat,” katanya.
Ditanya sejauh mana juara Liga Europa itu mampu pergi dalam UCL musim ini, Frank menegaskan pasukannya tidak mahu meletakkan had.
“Kami akan terus bermimpi, kami akan lakukan segala-galanya di pusingan 16 dan lihat sejauh mana kami boleh pergi,” katanya.
Kapten Spurs, Cristian Romero menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan besar sambil menegaskan mentaliti pasukannya berbeza dalam UCL.
“Dalam UCL, kami bermain dengan mentaliti berbeza. Setiap perlawanan seperti final.
“Apabila kami bermain dengan mentaliti ini, kami sentiasa hampir kepada kemenangan. Mentaliti sama perlu dibawa dalam Liga Perdana Inggeris,” katanya.
Kolo Muani, yang terselamat daripada kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan kereta dalam perjalanan ke lapangan terbang sehari sebelum perlawanan, membuka tirai jaringan dua minit selepas rehat separuh masa dengan penyudah tenang menentang bekas kelabnya.
Solanke kemudian menggandakan kelebihan sebaik dimasukkan, sekali gus meletakkan Spurs di landasan tepat untuk meraih kemenangan kelima di pentas Eropah musim ini.
“Saya masuk ketika kedudukan 1-0 dan mahu menamatkan perlawanan. Selepas itu semuanya lebih selesa, jadi saya memang gembira,” kata Solanke.
© New Straits Times Press (M) Bhd




