Tottenham Hotspur membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26 malam ini dengan aksi di laman sendiri menentang pasukan baharu dinaikkan ke liga utama itu, Burnley.
Ia adalah era baharu buat Tottenham Hotspur yang memasuki musim EPL kali ini di bawah bimbingan pengurus baharu, Thomas Frank.
Spurs juga akan beraksi pada musim baharu tanpa khidmat sensasi Korea Selatan, Son Heung-Min yang berhijrah ke Los Angeles FC (LAFC) selepas sedekad di kelab utara London itu.
Baru segar selepas menamatkan kemarau 17 tahun tanpa trofi apabila menjulang Liga Europa Mei lalu dengan kemenangan 1-0 ke atas Manchester United ketika dibimbing Ange Postecoglou, penyokong Spurs akhirnya terlepas daripada ejekan ‘trophyless’ yang sering menghantui mereka.
Malah, Spurs hampir menambah koleksi trofi kedua dalam tempoh tiga bulan hanya beberapa hari lalu apabila mendahului 2-0 ke atas juara Liga Juara-Juara, Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Piala Super UEFA hasil jaringan dua pertahanan tengah, Micky van de Ven dan Cristian Romero.
Namun mereka dibolosi dua kali di penghujung permainan dan tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Walaupun penamatnya agak kejam, persembahan mereka tetap dipuji ramai. Inilah pasukan Tottenham yang mampu mengekang barisan serangan paling berbahaya Eropah untuk tempoh yang panjang, sesuatu yang amat berbeza dengan kerapuhan pertahanan mereka musim lalu.
Persiapan pramusim juga memberi harapan positif dengan hanya satu kekalahan iaitu kepada Bayern Munich selain kemenangan ke atas Arsenal dan Reading, serta keputusan seri menentang Wycombe, Luton dan Newcastle.
Sementara itu, Burnley kembali ke saingan utama EPL selepas muncul naib juara Liga Kejuaraan di belakang Leeds United musim lalu.
Di bawah kendalian Scott Parker, mereka melalui pramusim yang agak bercampur baur. Satu-satunya kemenangan dicatat menentang Huddersfield, selain seri dengan Shrewsbury serta kekalahan kepada Stoke dan Lazio.
© New Straits Times Press (M) Bhd