PEMAIN pertahanan, Micky van de Ven menegaskan bahawa Tottenham Hotspur tidak gentar berdepan musuh Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United pada final Liga Europa di Stadium San Mames, Bilbao, Sepanyol bulan ini.
Kemenangan 2-0 ke atas Bodo/Glimt pada Jumaat membolehkan Spurs melakar kemenangan agregat 5-1 dalam perlawanan separuh akhir, manakala United pula menewaskan Athletic Bilbao 7-1 secara agregat.
Prestasi buruk dalam saingan EPL memberi tekanan besar kepada pengurus Tottenham, Ange Postecoglou namun pasukan itu kini hanya satu langkah lagi untuk menamatkan penantian 17 tahun tanpa trofi.
United, yang juga melalui musim liga yang mengecewakan mempunyai rekod kukuh dalam kejohanan-kejohanan piala baru-baru ini, namun Postecoglou berjaya menewaskan mereka tiga kali dalam saingan musim ini.
Van de Ven yakin Tottenham mampu meraih kejayaan meskipun terpaksa berdepan masalah kecederaan James Maddison, Lucas Bergvall dan kapten, Son Heung-min.
“Segalanya boleh berlaku dalam final, tetapi kami tidak pergi ke sana dengan rasa takut.
“Sudah tentu kami tahu kelebihan kami dan tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar, Manchester United menunjukkan kualiti mereka dalam saingan Eropah.
“Semua orang pergi ke Bilbao untuk memenangi trofi. Musim ini telah menjadi sukar dan ia hanya akan berjaya jika kami memenangi Liga Europa dan menjulang trofi,” katanya.
Pemain antarabangsa Belanda itu telah terlepas banyak perlawanan musim ini akibat kecederaan.
“Sudah tentu, bagi saya secara peribadi musim ini sangat mencabar. Saya tidak bermain banyak perlawanan, tetapi kini saya akan beraksi dalam final Eropah, final pertama dalam kerjaya saya,” katanya.
Van de Ven merasakan Tottenham, yang sering dikritik kerana kelemahan mentaliti telah menunjukkan sifat lebih berdaya saing dalam perjalanan mereka ke final yang dijadualkan pada 22 Mei ini.
“Kami berada dalam final Eropah, satu perlawanan lagi untuk meraih trofi dan saya rasa mentaliti yang kami tunjukkan sangat luar biasa.
“Kami menunjukkan banyak disiplin. Begitu juga dengan perlawanan di Frankfurt, kami berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dan menang di sana.
“Semua orang meragui ketika kami datang ke sini kerana Bodo/Glimt sangat hebat dalam perlawanan di laman sendiri, jadi kami tahu sejak awal ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, tetapi kami menunjukkan disiplin, mentaliti yang kuat. Kami melakukan apa yang perlu dilakukan, kami mengekalkan rekod tanpa bolos dan kini kami pergi ke Bilbao,” ujarnya.