Spurs teruskan aksi jelajah pramusim walaupun di ambang penyingkiran

Spurs teruskan aksi jelajah pramusim walaupun di ambang penyingkiran

Wellington: Tottenham Hotspur yang kini tanpa pengurus mengumumkan akan mengharungi perjalanan 24 jam ke New Zealand bagi aksi persahabatan pramusim pada Julai, ketika masa depan mereka masih belum pasti termasuk kemungkinan beraksi di Liga Kejuaraan.

Kelab London itu kini bergelut dalam perebutan mengelak penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan sedang mencari pengurus ketiga musim ini selepas berpisah dengan Igor Tudor, Ahad lalu hanya selepas tujuh perlawanan.

Tottenham kini berada satu mata di atas kelompok tiga terbawah dengan baki tujuh perlawanan.

Bagi memulakan jelajah pramusim, mereka akan menentang Auckland FC pada 26 Julai di Eden Park.

Ia adalah kunjungan kedua Spurs ke New Zealand selepas kali terakhir pada 1976.

“Apa sahaja berlaku kepada Tottenham musim ini, mereka kekal sebagai pasukan berprofil tinggi dengan penyokong di seluruh dunia dan kami gembira menyambut kehadiran mereka di Auckland,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Auckland FC, Nick Becker.

Tottenham sebelum ini turut mengumumkan akan menentang Sydney FC serta seteru London, Chelsea di Australia masing-masing pada 29 Julai dan 1 Ogos.

Bekas jurulatih Brighton dan Marseille, Roberto De Zerbi antara nama dikaitkan dengan jawatan itu, selain laporan menyebut kelab mungkin memilih Sean Dyche bagi membantu mereka keluar daripada krisis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top