Seoul: Siri popular global “Squid Game” terbitan Netflix kembali untuk musim ketiga dan terakhir yang amat dinanti-nantikan, dengan tayangan perdananya dijadualkan hari ini, sekali gus menamatkan kisah dramatik dari Korea Selatan yang bermula pada 2021.
Menurut agensi berita Yonhap, musim terakhir ini akan menampilkan enam episod – lebih pendek berbanding sembilan episod bagi musim pertama dan tujuh bagi musim kedua.
Musim ketiga dijangka merungkai persoalan yang masih belum terjawab berkaitan peserta dan penganjur misteri di sebalik permainan survival yang membawa maut, susulan babak pengakhiran musim sebelumnya yang tergantung.
Pencipta siri, penulis dan penerbit eksekutif, Hwang Dong Hyuk berkata, babak akhir ini bertujuan meneroka persoalan asas mengenai keupayaan manusia mencipta dunia yang lebih baik di bawah tekanan sistem kapitalis.
Pertembungan ideologi ini digambarkan melalui watak utama siri itu: Gi Hun (lakonan Lee Jung Jae) dan Front Man (Lee Byung Hun).
Musim baharu ini akan menyaksikan Gi Hun menghadapi lebih banyak cabaran maut, menanggung kehilangan peribadi, dan menuju ke konfrontasi terakhir dengan Front Man.
Kisah ini turut akan menelusuri latar belakang watak penting lain, termasuk pasangan ibu dan anak, seorang wanita muda hamil bersama bekas pasangannya yang terpisah, serta seorang pengawal Korea Utara yang memberontak.
Namun, tidak jelas sama ada semua misteri mengenai permainan dan penciptanya yang rahsia akan terjawab, Hwang berkata musim ini direka untuk membawa penonton “ke tahap paling menyedihkan”.
Beliau menambah bahawa persoalan utama cerita ini adalah; “Apabila semua harapan musnah dan yang tinggal hanyalah ras putus asa, apa yang menanti selepas itu?”
Musim ketiga “Squid Game” akan mula ditayangkan di Netflix pada 4 petang waktu tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd