sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) enggan menekan butang panik apabila gagal meraih emas selepas dua wakil negara tewas di pentas akhir kepada India pada saingan Skuasy Beregu Asia 2025 yang berlangsung di Kuching, Sarawak dari 23 hingga 26 Jun lalu.
Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata, beliau melihat pemain muda negara sudah memberikan aksi yang cukup baik dan mampu memberi saingan kepada lawan mereka, selain hampir menang dalam beregu wanita.
“Nombor satu, kita tak ada pemain utama seperti S Sivasangari dan Ng Eain Yow. Kita juga beri pendedahan kepada pemain muda, terutama dalam acara beregu. Kita hantar pemain remaja supaya mereka terdedah kepada tahap kejohanan seperti ini.
“Kalau tengok keputusan pun, sebenarnya tak jauh beza. Semua perlawanan sangat sengit. Satu mata, dua mata saja yang membezakan. Malah dalam Kejohanan Skuasy Asia yang lalu, kita hampir dapat emas daripada India. Sudah tentu kita akan tingkatkan kualiti dan taraf skuasy Malaysia sebelum Sukan Asia di Jepun nanti,” katanya.
Untuk rekod, sukan skuasy antara penyumbang emas utama buat kem negara di pentas sukan berkenaan sejak beberapa edisi lalu dan India sememangnya mempunyai kekuatan yang cukup baik dalam acara beregu, malah menjadi lawan sengit buat Malaysia dalam memburu pingat emas.
Ketika edisi lalu di Hangzhou 2022, skuad negara membawa pulang tiga emas dalam acara perseorangan lelaki dan wanita serta berpasukan wanita, sementara India cemerlang meraih dua emas dalam kategori beregu lelaki dan beregu campuran.
Terdahulu, pada Kejohanan Skuasy Beregu Asia 2025, India menyapu bersih tiga emas dalam acara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran, manakala Malaysia pula berpuas hati dengan dua perak menerusi Noor Ainaa Amani Ampandi–Yee Xin Ying (beregu wanita) dan C Ameeshanraj–Rachel Arnold (beregu campuran).
© New Straits Times Press (M) Bhd