SRG.OG kekal tanpa kalah selepas 8 perlawanan

SRG.OG kekal tanpa kalah selepas 8 perlawanan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor Red Giants (SRG.OG) terus menunjukkan dominasi apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lapan perlawanan pada minggu ketiga Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim ke-15.

Juara bertahan itu bagai sukar ditandingi mana-mana pencabar lain apabila selesa mendahului carta kedudukan dengan 12 mata dan hanya dipisahkan satu mata dengan pencabar utama ketika ini, Homebois yang mengumpul 11 mata.

Dalam perlawanan menentang Todak pada minggu lalu, mid laner, Hazziq Rizwan terus beraksi cemerlang menggunakan hero Kimmy, sekali gus dipilih selaku Pemain Paling Bernilai (MVP).

Malah, Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi atau YumS turut mencipta rekod terbaharu selepas melakukan 2,006 ‘assists’ dalam perlawanan sama, sekali gus memadam rekod lama yang dilakukan Mohammad Zul Hisham yang melakukan 1,882 assists sebelum ini.

Bagi Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman atau dikenali sebagai Sekysss, mereka perlu mengekalkan rentak permainan seperti itu dari semasa ke semasa bagi memastikan pasukan SRG.OG terus berada di puncak.

“Apa yang paling penting ketika ini adalah momentum pasukan. Saya dan rakan akan meneruskan apa yang kami buat sekarang untuk dapat kemenangan dalam setiap perlawanan,” katanya.

SRG.OG hanya memerlukan satu lagi kemenangan bersih 2-0 dalam perlawanan akan datang untuk mengunci slot ke play-off musim ke-15.

Pada minggu keempat, mereka akan menghadapi dua perlawanan iaitu menentang Aero Esport (Jumaat) dan JP Niners (Ahad) dan dijangka akan mudah mengutip enam mata penuh minggu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top