Sri Lanka adakan majlis peringatan selepas 21 tahun tsunami dahsyat

Sri Lanka adakan majlis peringatan selepas 21 tahun tsunami dahsyat

Colombo: Sri Lanka pada Jumaat memperingati mangsa tsunami 2004 dalam satu majlis peringatan, sempena ulang tahun ke-21 bencana dahsyat itu, lapor Xinhua.

Majlis peringatan tersebut diadakan berhampiran kubur besar Akmeemana Kurunduwatta di daerah Galle, selatan negara itu, yang menjadi tempat persemadian kira-kira 1,800 mangsa tsunami yang tidak dapat dikenal pasti secara individu.

Majlis berkenaan dihadiri ahli keluarga mangsa yang mengadakan upacara keagamaan serta meletakkan kalungan bunga di tugu peringatan berkenaan.

Tsunami itu melanda Sri Lanka pada 26 Disember 2004 susulan gempa bumi kuat di dasar laut di luar pantai barat Sumatera, Indonesia.

Di Sri Lanka, tsunami berkenaan menyebabkan kemusnahan besar di sepanjang kawasan pesisir pantai, khususnya di wilayah selatan dan timur negara itu.

Bencana tsunami Lautan Hindi 2004 yang dicetuskan oleh gempa bumi kuat di dasar laut itu mengorbankan kira-kira 230,000 orang di lebih 14 negara, menjadikannya antara bencana alam paling dahsyat dalam sejarah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top