Sri Pahang sertai Liga A1 Semi Pro?

Sri Pahang sertai Liga A1 Semi Pro?

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas Sri Pahang FC disahkan tidak lagi akan beraksi dalam kancah Liga Super musim depan, timbul pula desas-desus atau cadangan supaya pasukan itu perlu membuat ‘comeback’ dalam Liga A1 Semi Pro kendalian Liga Amatur Malaysia (AFL).

Spekulasi itu hangat diperkatakan dalam kalangan pemerhati bola tempatan dan penyokong skuad Tok Gajah sendiri yang mahukan pasukan kesayangan mereka terus aktif dalam saingan bola sepak negara.

Namun segala-galanya masih belum jelas selepas Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menegaskan pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Sri Pahang berhubung hasrat untuk menyertai Liga A1 musim ini.

“Kalau tanya saya berkenaan dengan pasukan Pahang, setakat ni kita belum dapat apa-apa yang rasmi lah, secara rasminya tak ada,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Untuk rekod, Sri Pahang antara tiga pasukan elit bersama Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tidak tersenarai dalam Liga Super 2025 atas beberapa faktor tertentu.

Selain itu, Raimi berkata, walaupun AFL tidak menutup pintu kepada sebarang penyertaan baharu, segala keputusan bergantung sepenuhnya kepada permohonan bertulis yang kemudiannya perlu dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah AFL.

“Permohonan baharu bergantung kepada jika ada secara bertulis ni. Macam biasalah, kita akan bawa masuk ke mesyuarat lembaga pengarah dan daripada situ kita akan lihatlah sama ada peluang ataupun potensi itu wujud atau ada atau tak ada, macam tu lah,” katanya.

AFL sebelum ini pernah memberi kelonggaran kepada beberapa pasukan yang berada di luar struktur liga untuk kembali menyertai saingan selepas menilai kesesuaian dan keperluan semasa namun situasi semasa agak berbeza.

“Sekarang ni kita sudah umumkan 16 pasukan yang akan bermain dan dalam masa terdekat ni, kita akan jalankan taklimat kepada pasukan Liga A1.

“Sebarang perubahan drastik seperti penambahan pasukan boleh memberi kesan kepada jadual, penyusunan kumpulan dan struktur teknikal yang sudah disusun rapi menjelang sepak mula liga kurang sebulan dari sekarang.

“Saya rasa, untuk potensi atau peluang tu, nak kata tertutup tu tak lah… tapi dalam situasi semasa ni, nampak macam agak berat, agak kelam-kabut jugalah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top