SSI milik JDT, dakwaan tular di media sosial tidak berasas- Exco Johor

SSI milik JDT, dakwaan tular di media sosial tidak berasas- Exco Johor

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas yang tular di media sosial kononnya Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan milik Johor Darul Ta’zim (JDT).

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kenyataan yang dimuat naik oleh seorang individu di platform X itu bersifat dangkal, mengelirukan serta berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, SSI sememangnya adalah hak milik JDT yang berada di bawah naungan dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaku pemilik kelab berkenaan.

“Pembinaan Stadium Sultan Ibrahim adalah sebahagian daripada visi strategik Pemangku Sultan Johor bagi membangunkan ekosistem sukan bertaraf dunia di negeri ini, sekali gus meletakkan Johor sebagai antara kuasa besar bola sepak di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu menjelaskan, JDT berperanan sebagai entiti profesional yang mengurus dan membangunkan pasukan termasuk aspek teknikal, prestasi pemain, pembangunan bakat serta pengurusan kelab secara keseluruhan.

Mohd Hairi memberitahu Pemangku Sultan Johor telah memberikan kepercayaan kepada Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) bagi memastikan tadbir urus stadium dilaksanakan secara profesional dan berstandard antarabangsa.

Sehubungan itu, Mohd Hairi menegaskan bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak benar, bersifat spekulatif dan wajar dihentikan agar tidak mengelirukan rakyat Johor.

Beliau turut menyeru penulis serta pempengaruh media sosial supaya lebih bertanggungjawab dengan menyemak fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencemar reputasi institusi sukan negeri serta kepimpinan Johor.

Sebelum itu, tular di laman X mengenai muat naik mendakwa SSI bukan kepunyaan JDT.

“Ada angin bertiup kencang mengatakan SSI bukanlah kepunyaan JDT.

“Kelab Bolasepak JDT hanyalah penyewa.

“Kalau betul rumors ni, pencacai selatan dah boleh standby sembam muka dekat air loji. Time will tell eh,” tulisnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Negeri Johor menafikan dakwaan yang mengatakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan milik Johor Darul Ta’zim (JDT)
  • SSI adalah hak milik JDT di bawah naungan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail
  • Pembangunan SSI adalah sebahagian daripada visi Pemangku Sultan Johor untuk membina ekosistem sukan bertaraf dunia di Johor
  • JDT bertindak sebagai entiti yang mengurus dan membangunkan pasukan bola sepak termasuk aspek teknikal dan pengurusan
  • Mohd Hairi Mad Shah menyeru penulis media sosial untuk menyemak fakta sebelum membuat dakwaan yang boleh mencemarkan reputasi institusi sukan Johor
Scroll to Top