Putrajaya: Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dinobatkan juara Super Schools Rugby (SSR) 2025 Academy Division selepas menewaskan juara bertahan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dengan keputusan dramatik 12-10 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Taman Ekuestrian Putrajaya baru-baru ini.
Disaksikan ribuan penyokong yang membanjiri venue penuh prestij ini, SSMP mempamerkan ketenangan, disiplin, dan semangat juang tinggi untuk mengatasi pasukan yang pernah menjulang kejuaraan edisi sulung tahun lalu.
Dua try daripada Airel Nurafifi Azhar dan Muhammad Ibrahim Bakhtiar, serta satu conversion daripada Muhammad Adam Hadafie, cukup untuk membawa pulang trofi ke Pahang dan hadiah wang tunai bernilai RM10,000.
SSTMI yang tidak mudah mengalah turut memberi saingan sengit dengan satu try oleh Muhammad Haikal Ismail, conversion dan sepakan penalti oleh Mohamad Razali Rizal, namun gagal menambah mata di saat-saat akhir meskipun diberi peluang menerusi sepakan penalti dari jarak jauh.
Airel Nurafifi Azhar dari SSMP turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Grand Final MILO dan membawa pulang hadiah tunai RM500, menutup kejohanan dengan penuh bergaya.
Ketua Jurulatih SSMP, Yusli Ashan, tidak menyembunyikan rasa bangga terhadap anak buahnya berkata, “Ini bukan sekadar kemenangan ini adalah kemuncak kerja keras, disiplin, dan kesatuan hati kami sepanjang musim.
“Saya amat bangga dengan pasukan ini, terutama barisan pemain muda yang berjaya menunjukkan karakter luar biasa dalam perlawanan akhir hari ini. Mereka adalah masa depan ragbi negara.”
Dengan kemenangan ini, SSMP menyertai senarai juara SSR Academy Division yang semakin berprestij. SSTMI, sebagai finalis, membawa pulang RM5,000, manakala Akademi Ragbi Selangor dan SMK King Edward VII melengkapkan senarai empat terbaik musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd