Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Datuk Dr Akmal Saleh menganggap cadangan perluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lima peratus terhadap barangan keperluan seperti biskut dan santan akan membebankan golongan berpendapatan rendah B40.
Mungkin PMX terlepas pandang
Beliau berkata berkemungkinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlepas pandang berhubung perluasan SST yang dikenakan kepada barangan keperluan asas yang sering digunakan oleh golongan marhaen itu.
“Saya bersetuju jika nak cukaikan avocado sahaja tetapi mungkin PMX terlepas pandang bahawa dalam senarai yang akan dikenakan SST 5% nanti ada biskut dan juga santan dalam senarai tersebut.
“Biskut dan santan Ini digunakan oleh orang yang susah juga dan mungkin PMX terlepas pandang mengenai kesan domino ekonomi apabila satu barang naik, maka keseluruhan sistem juga akan naik,” kata Akmal di Facebook, semalam.
Ketua Pemuda UMNO itu turut menyarankan agar Good and Service Tax (GST) digunakan semula kerana ia lebih efisien selain bersetuju mengenakan cukai kepada makanan orang kaya seperti avocado.
“Maka rakyat juga akan terkesan tidak kira apa status mereka miskin atau kaya sebab itu satu sistem yang komprehensif dan cekap.
“GST perlu digunakan untuk mengawal aliran cukai dengan lebih efisien dan mungkin PMX terlepas pandang bahawa GST tu bukan general services tax, tetapi ia adalah good and services tax ya,” jelasnya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan memberi bayangan untuk melaksanakan peluasan skop SST terhadap beberapa barang keperluan asas yang sering digunakan oleh golongan elit antaranya buah-buahan import.
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah menyatakan terdapat beberapa barangan tertentu seperti ketam raja (king crab), salmon, ikan kod, cendawan trufel, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Artikel lain: UMNO tolak pelawaan Tun Mahathir – “Nak bersatu, biar datang dari hati ikhlas”
Untuk rekod, Belanjawan 2025 lalu telah mengumukan pelaksanaan semakan dan perluasan skop SST berfokus bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dan meningkatkan hasil sekali gus meluaskan asas percukaian bagi mengubah mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat.
Sumber: Facebook Akmal Saleh