sukanteam@nstp.com.my
Ipoh: Stadium Perak dijangka boleh kembali digunakan menjelang September ini susulan kerja-kerja menaik taraf kemudahan termasuk penukaran rumput padang di stadium berkenaan yang dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun ini.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, projrek naiktaraf yang sedang berjalan itu termasuk pemasangan rumput Axonopus Putra, pengubahsuaian sistem saliran bawah tanah, dan pemasangan sistem siraman automatik jenis ‘pop-up sprinkler’, yang ketika ini mencapai 75 peratus kemajuan fizikal.
Menurutnya, projek berkenaan pada asalnya disasarkan siap lebih awal, namun beberapa faktor termasuk cuaca serta pelarasan skop kerja menyebabkan jadual pelaksanaan terpaksa disusun semula hingga menyebabkan kemajuan fizikal projek itu kini dianggarkan 10 peratus kebelakang daripada jadual asal.
Katanya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan peruntukan tambahan RM413,000 bagi pemasangan sistem siraman automatik itu yang tidak termasuk dalam skop asal projek, di mana keputusan pemasangan itu dibuat bagi menggantikan kaedah siraman manual yang bergantung kepada tenaga manusia.
“Projek dijangka siap sepenuhnya sekitar akhir Mac hingga April 2026, diikuti tempoh pematangan rumput sebelum padang boleh digunakan secara optimum.
“Jadi kita jangka sekitar bulan September ia boleh digunakan supaya boleh selesai semuanya dan siap sedia untuk dibuka kepada perlawanan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja ke stadium itu hari ini yang turut dihadiri Setiausaha MBI, Ahmad Munir Ishak.
Kata Sandrea, sebanyak 24 unit nozel automatik dipasang di padang staidum itu bagi memastikan siraman air lebih sekata dan konsisten ke seluruh permukaan padang.
“Keputusan menambah sistem ‘sprinkler’ dibuat selepas semakan teknikal mendapati pemasangan perlu dilakukan sebelum kerja penanaman rumput bagi mengelakkan risiko kerosakan struktur padang serta kos pembaikan pada masa hadapan.
“Sebelum ini kaedah siraman dilakukan secara manual dan bergantung pada tenaga kerja, sekali gus menyebabkan pengagihan air kurang konsisten,” katanya.
Beliau berkata, naik taraf Stadium Perak bermula pada Jun tahun lalu adalah usaha bersama yang membabitkan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MBI, serta kerajaan negeri Perak dengan kos keseluruhan melebihi RM1.2 juta termasuk kerja tambahan pemasangan sistem ‘sprinkler’.
Menurutnya lagi, pemasangan rumput Axonopus Putra di Stadium Perak berbanding cadangan asal menggunakan rumput Zeon Zoysia diyakini pilihan tepat dengan melihat kepada kajian kes yang berlaku di negeri lain antaranya di Terengganu.
“Penjagaan rumput Zeon Zoysia ini agak ‘manja’, menjadikan penjagaannya agak rumit dari segi pengairan, pembajaan. Kita ambil kes daripada stadium di Terengganu yang menggunakan rumput itu dan sekarang mereka pun sudah ke arah menukar rumput yang begini (Axonopus Putra),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




