
Seorang staf hospital didapat membawa beg plastik berisi uri di sebuah Hospital Bersalin Renhuai Jiudu di Guizhou. – Agensi
BEIJING – Pihak berkuasa kesihatan China sedang menyiasat dakwaan staf Hospital Bersalin Renhuai Jiudu di Guizhou mengambil uri pesakit secara tidak sah selepas tular video menunjukkan seorang kakitangan didapati membawa beg plastik berisi uri.
Skandal itu terbongkar pada 20 Mac lalu selepas seorang pengguna media sosial mendakwa uri pesakit disorok dalam beg plastik hitam sebelum dibawa pergi oleh staf lelaki yang tidak dikenali.
Suruhanjaya Kesihatan Wilayah Guizhou dalam satu kenyataan pada 25 Mac memaklumkan kakitangan terbabit telah dipecat.
Menurut peraturan kesihatan China sejak 2005, uri hanya boleh diberikan kepada ibu selepas bersalin.
Jika ibu memilih untuk membuang atau mendermakannya, hospital bertanggungjawab menyimpan organ itu bagi mengelakkan aktiviti penjualan haram.
Media tempatan melaporkan uri boleh dijual pada harga tinggi di pasaran gelap, dengan kapsul uri segar dijual sehingga 100 yuan (RM65) setiap gram. – Agensi

