'Standard Liverpool sentiasa tinggi' – Slot

'Standard Liverpool sentiasa tinggi' – Slot

London: Pengurus Liverpool, Arne Slot menegaskan ‘standard di Liverpool sentiasa tinggi’ ketika beliau memburu kejayaan dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara bagi menyelamatkan kelab itu musim ini selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tottenham Hotspur, yang sedang bergelut untuk mengelak penyingkiran, akan bertandang ke Anfield pada awal pagi Isnin, hampir setahun selepas kunjungan terakhir mereka, ketika Liverpool mengesahkan kejuaraan liga.

Walaupun sudah berbelanja hampir £450 juta (RM2.3 bilion) bagi memperkukuh skuad di pasaran perpindahan, Liverpool memasuki hujung minggu ini di tangga keenam liga, ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu, Arsenal.

Anak buah Slot turut tewas 0-1 kepada Galatasaray SK dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu lalu dan bakal menghadapi tugas sukar menentang Manchester City dalam suku akhir Piala FA.

Namun jurulatih dari Belanda itu menegaskan jangkaan tinggi terhadap kelab gergasi England itu tidak seharusnya menurun.

“Perbezaan besar antara keadaan kami sekarang dan ketika itu memang jelas,” kata Slot merujuk perbandingan situasi semasa berdepan Spurs dengan 11 bulan lalu.

“Standard di Liverpool sentiasa tinggi, memang sentiasa begitu dan akan kekal begitu.

“Kami adalah kelab besar. Standard itu perlu diletakkan tinggi oleh orang di sekeliling kami, dan kami sendiri juga akan meletakkannya setinggi itu.

“Musim ini sudah tentu kami tidak dapat memenangi liga sekali lagi, tetapi kami masih bersaing dalam dua piala iaitu Liga Juara-Juara dan Piala FA,” katanya.

Slot mungkin dapat menurunkan semula penjaga gol utama, Alisson Becker selepas penjaga gol Brazil itu terlepas aksi di Istanbul akibat kecederaan otot.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan pembelian termahal kelab, Alexander Isak, masih belum dapat kembali beraksi selepas mengalami patah tulang fibula pada Disember lalu.

Liverpool kini berkongsi mata dengan pasukan tangga kelima, Chelsea dan ketinggalan tiga mata di belakang Manchester United serta Aston Villa, yang akan bertemu di Old Trafford, awal pagi Ahad.

Situasi Tottenham lebih mendesak apabila mereka hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

Spurs turut mencipta rekod buruk kelab selepas tewas dalam enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Pengendali sementara yang berdepan tekanan hebat, Igor Tudor, dijangka kekal mengendalikan pasukan semasa kunjungan ke Anfield.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top