am@hmetro.com.my
Chukai: Kapal hantu yang ditemui hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A dekat sini, sejak 12 Ogos lalu sudah ditunda masuk ke Kemaman Supply Base (KSB) di sini, hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) PahangLaksamana Pertama Maritim, Mazlan Mat Rejab berkata, operasi bersepadu menunda kapal itu disertai seramai 62 anggota membabitkan pelbagai agensi keselamatan, industri minyak dan gas.
Menurutnya, operasi menyelamat kapal terbabit diselaraskan bersama Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur,
PETRONAS serta kerjasama beberapa agensi swasta yang lain.
“Sebuah helikopter, Dauphin AS365 N3 digunakan sebagai aset pemantauan udara bagi memantau pergerakan kapal hantu dan keselamatan pasukan di laut.
“Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) APMM turut diterbangkan menggunakan pesawat Westar Helicopter AW139 dari Kerteh ke Platform Larut.
“Dari situ, pasukan dipindahkan ke kapal MV Aishah AIMS 1 untuk ke kapal hantu terbabit,” katanya ketika sidang media di Pejabat APMM Kemaman.
Menurutnya, STAR Team berjaya menaiki kapal hantu itu dan melaksanakan pemasangan tali tunda sebelum dipindahkan kepada kapal penyelamat MV JM Purnama yang seterusnya menunda kapal terbabit ke KSB.
“Perjalanan itu sejauh hampir 140 batu nautika dengan mengambil masa lebih dua hari dengan kelajuan kapal sekitar 3.5 knot.
“Kapal berkenaan selamat tiba di KSB pada 11.30 pagi tadi. Dan sebaik tiba operasi pemeriksaan akan dijalankan membabitkan psukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia dan APMM bagi memastikan aspek keselamatan sebelum siasatan penuh dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, laporan berkaitan kemungkinan terdapat mangsa di atas kapal akan diuruskan oleh pihak berkuasa selepas pengesahan dibuat di lokasi.
“Kapal ini berisiko boleh mengancam keselamatan seperti melanggar pelantar minyak dan laluan perkapalan serta boleh membabitkan bencana besar sekiranya terus dibiarkan hanyut.
“Kejayaan menunda kapal ini adalah hasil kerjasama erat dan komitmen semua pihak yang terbabit,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya kapal itu ada kaitan dengan insiden kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili, Johor pada 6 ogos lalu, namun siasatan lanjut akan dijalankan untuk pengesahan identitinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd