am@hmetro.com.my
Tawau: Pengisytiharan bencana kemarau di daerah ini yang diumumkan 10 pagi tadi ditarik balik selepas didapati tidak lagi memenuhi kriteria, namun kebimbangan kini beralih kepada krisis kekurangan air yang semakin meruncing di Pulau Sebatik.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau memaklumkan penarikan semula itu dibuat selaras dengan pandangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah hasil penilaian dan pemantauan terkini.
Terdahulu, pada mesyuarat sebelah pagi, JPBD Tawau mengisytiharkan bencana kemarau membabitkan kawasan Pulau Sebatik susulan laporan keadaan cuaca kering berpanjangan yang menjejaskan sumber air penduduk.
Bagaimanapun, Pengerusi JPBD Tawau, Datuk Joseph Pang berkata, semakan lanjut mendapati keadaan keseluruhan di daerah Tawau masih terkawal dan tidak lagi menepati takrif sebagai bencana kemarau.
“Bekalan air serta keadaan cuaca di kawasan Tawau secara keseluruhannya berada dalam keadaan stabil.
“Namun, kekurangan air di Pulau Sebatik didapati semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian berterusan,” katanya dalam kenyataan terbaru, di sini, sebentar tadi.
Menurutnya, pihak berkuasa akan terus menjalankan perbincangan semula serta pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan situasi kekal terkawal.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat lama yang tidak lagi sahih, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Dalam pada itu, penduduk khususnya di kawasan terjejas diingatkan supaya terus mengamalkan penggunaan air secara berhemah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




