Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda tidak berkenan sekiranya mana-mana ahli kerabat diraja menyalahgunakan kedudukan untuk memperdaya pihak lain demi kepentingan peribadi.
Baginda bertitah, status sebagai kerabat diraja bukan alasan untuk seseorang bertindak sewenang-wenangnya, sebaliknya setiap individu perlu menghormati undang-undang dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menurut baginda, setiap ahli kerabat memikul tanggungjawab besar dalam memelihara nama baik keluarga serta institusi diraja Selangor kerana tindakan seseorang boleh mempengaruhi pandangan masyarakat terhadap keseluruhan institusi berkenaan.
“Kita juga mempunyai amanah untuk menjaga nama baik kerabat dan institusi diraja Selangor. Setiap kerabat bertanggungjawab terhadap tingkah laku dan tindakannya kerana perbuatan seseorang boleh memberi kesan kepada pandangan masyarakat terhadap seluruh keluarga diraja Selangor.
“Cara kita membawa diri, berinteraksi dengan masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab hendaklah mencerminkan maruah serta kewibawaan keluarga dan institusi,” titah baginda.
![]()
Kredit Foto: BERNAMA
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Kerabat Diraja sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, pada Selasa.
Dalam pada itu, baginda turut menyeru seluruh kerabat diraja supaya memperkukuh hubungan kekeluargaan, mengelakkan permusuhan dan tidak membiarkan perselisihan kecil mencetuskan perpecahan.
Baginda mengingatkan agar sebarang salah faham diselesaikan secara berhemah tanpa mengadu domba, menyebarkan cerita tidak benar atau mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan.
“Peliharalah tutur kata dan adab, termasuk ketika menggunakan media sosial, serta amalkan sikap saling memahami, bertolak ansur dan saling memaafkan. Beta juga menyeru agar ahli kerabat sekalian saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain.
“Janganlah kita hanya berkumpul ketika majlis dan keraian semata-mata, tetapi hendaklah turut hadir memberikan sokongan, bantuan ketika saudara kita berdepan dengan kesulitan serta masalah,” titah baginda.
Kredit Foto: Majlis Bandaraya Diraja Klang
Pada majlis berkenaan, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa sukacita atas kehadiran hampir 1,200 ahli kerabat diraja Selangor yang berhimpun bagi meraikan Jubli Perak pemerintahan baginda.
Baginda berharap pertemuan tersebut dapat mengeratkan silaturahim, memupuk nilai kasih sayang serta memastikan keharmonian keluarga dan martabat institusi diraja terus terpelihara.

Turut hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Sumber: BERNAMA




