SHAH ALAM – Kerajaan perlu memastikan perkembangan dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta kerangka Ekonomi Madani terus diberi perhatian ketika pembentangan Belanjawan 2027.
Tokoh akademik, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, perkembangan dan pelaksanaan kedua-dua kerangka berkenaan seharusnya menjadi antara pengisian penting dalam Belanjawan 2027, selain perancangan fiskal bagi tahun berkenaan.
Menurutnya, belanjawan tahunan sering dilihat seolah-olah sebagai rancangan pembangunan negara yang utama sehingga teras dan inisiatif utama rancangan pembangunan lima tahun negara hanya diberi perhatian ketika Kajian Separuh Penggal atau pembentangan rancangan lima tahun berikutnya.
“Apakah status tiga Tonggak dan 27 Keutamaan RMK13? Tenggelam dari perhatian. Ramai yang sudah lupa.
“Belanjawan 2027 merupakan tahun kedua pelaksanaan RMK13 yang meliputi tempoh 2026 hingga 2030, dengan antara matlamat utama belanjawan tahunan adalah menyediakan peruntukan dana bagi menjayakan rancangan berkenaan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Isnin.
Noor Azlan berkata, kerajaan turut mengetengahkan kerangka Ekonomi Madani pada Julai 2023 yang merangkumi aspek Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai dan memperkukuhkan tatakelola.
Katanya, ketiga-tiga aspek berkenaan sewajarnya menjadi antara pengisian utama dalam Belanjawan 2027.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan status lima teras Menaikkan Siling dan lima teras Menaikkan Lantai serta kemajuan mencapai tujuh sasaran aspirasi jangka panjang dan sederhana Ekonomi Madani selepas hampir tiga tahun diperkenalkan.
“Sama juga dengan Ekonomi Madani. Apakah status lima teras Menaikkan Siling dan lima teras Menaikkan Lantai?
“Bagaimana pula kemajuan mencapai tujuh sasaran aspirasi jangka panjang dan sederhana Ekonomi Madani setelah hampir tiga tahun selepas diumumkan? Juga hilang dari radar. Tiada siapa melaporkan,” katanya.
Menurutnya, Belanjawan 2027 bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada perancangan fiskal, malah perlu menyimpulkan perkembangan RMK13 dan Ekonomi Madani berdasarkan keadaan ekonomi semasa serta yang mendatang pada 2027.
Noor Azlan berkata, belanjawan tahunan juga berkemungkinan mengambil kira penyesuaian terhadap perancangan pembangunan bagi diselaraskan dengan perkembangan terkini dan jangkaan kedudukan ekonomi semasa serta tahun mendatang.
“Sebagai contoh, krisis geopolitik Timur Tengah yang kini memuncak bermula awal 2026 selepas RMK13 dibentangkan menyebabkan kenaikan harga minyak secara mendadak dan memerlukan ubahsuaian dalam perancangan pembangunan ekonomi negara.
“Penyesuaian semula secara menyeluruh rancangan pembangunan lazimnya dibuat ketika Kajian Separuh Penggal Rancangan Lima Tahun,” katanya.



