ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meminta semua pihak agar bersabar sementara menanti perkembangan rasmi mengenai status kontrak beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah, yang dijangka dimuktamadkan sebelum Terbuka Jepun minggu depan.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya tetap optimis dengan perbincangan sedang berlangsung antara kedua-dua pemain berkenaan dan badan induk itu yang dilihat bergerak ke arah positif.
“Tunggulah… tunggu. Kan Tengku Presiden (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dah maklumkan sebelum ini bahawa (keputusan) akan dimuktamadkan sebelum Terbuka Jepun. Jadi, kita tunggulah beberapa hari lagi.
“Seperti Tengku Presiden maklumkan juga, perbincangan mereka sangat positif. Itu yang saya boleh kongsikan buat masa ini,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada BAM mahu mengekalkan Pearly-Thinaah hingga ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, Kenny menegaskan pihaknya sentiasa mahukan yang terbaik demi pembangunan badminton negara.
“Kita nak yang terbaiklah. Tapi, kita tunggu dan lihat,” katanya ringkas.
Pagi tadi Arena Metro melaporkan pasangan nombor tiga dunia itu akan kekal bersama BAM sekurang-kurangnya hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Pearly-Thinaah bersetuju menandatangani kontrak baharu, hujung minggu ini sebelum terbang ke Jepun bagi menyertai kejohanan Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai.
Dalam pada itu, Kenny yang turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2025 Thailand menganggap pelantikan itu sebagai satu penghormatan besar buat dirinya.
“Sudah tentu ia satu penghargaan, tetapi pada masa sama saya rasa rendah diri kerana kalau kita tengok senarai dilantik tu semua legenda sukan, kecuali saya. Saya hanya pentadbir sukan sahaja.
“Namun saya harap pelantikan ini membolehkan saya memberi penambah nilai secara menyeluruh kepada kontinjen Malaysia,” katanya yang turut menyatakan perbincangan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), MSN dan ISN akan diadakan bagi menetapkan sasaran realistik di temasya Sukan SEA kali ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd