farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pernikahan pengikut Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) dengan mas kahwin satu pusingan Aurad Muhammadiah adalah wirid Al-Arqam yang difatwakan sesat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah berkata, status pernikahan yang menyebut satu pusingan Aurad Muhammadiah sebagai mas kahwin perlu disahkan oleh jabatan pendaftaran perkahwinan pejabat agama.
Katanya, Aurad Muhamadiah adalah wirid yang diputuskan sesat oleh fatwa yang diamalkan oleh jemaah Arqam dahulu.
“Itu sudah ada fatwa di peringkat negeri-negeri dan kebangsaan yang difatwakan sesat,” katanya.
Mengulas sama ada perkahwinan itu sah, Luqman berkata, perkahwinan yang mempunyai mas kahwin yang jelas adalah sah.
“Disebut dalam akad itu bukan syarat kerana kalau tidak disebut ia akan pergi kepada mahar misil iaitu apa yang sesuai dan patut diberikan kepada pengantin perempuan.
“Bagaimanapun dalam hal ini, kita kena tengok pengesahan daripada jabatan pendaftaran perkahwinan di jabatan agama Islam dan Mahkamah Syariah,” katanya.
Tambahnya, satu siasatan yang lebih jelas perlu dilakukan berhubung kedudukan anak-anak GISBH yang menggunakan bin dan binti Abdullah.
Katanya, perlu ada pendaftaran di peringkat jabatan agama Islam yang menguruskan perkahwinan.
“Jadi ada dua lapis proses iaitu penentuan nasab oleh jabatan pendaftaran perkahwinan pejabat agama sebelum ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang akan tengok kepada sijil yang dikeluarkan,” katanya.
Terdahulu, tular video klip yang menunjukkan sebuah sesi akad nikah membabitkan pengikut GISBH.
Klip dikongsi oleh Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas), badan NGO yang aktif membongkar aktiviti GISBH, menunjukkan upacara nikah dengan lafaz akad yang diubah.
Ia mencetuskan pelbagai reaksi termasuk mempersoalkan sama ada perkahwinan yang dijalankan itu sah di sisi undang-undang tempatan dan syariat Islam.
Sebelum ini GISB dipalit kontroversi eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja selepas 20 premis dikaitkan dengan syarikat itu sebagai pusat jagaan dan rumah amal diserbu polis awal pagi 10 September lalu.
Dalam serbuan terbabit, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu termasuk ustaz yang mengendalikan premis yang diserbu untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




