Status profesional cetus tanda tanya

Status profesional cetus tanda tanya

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Adakah Liga Malaysia (Liga M) benar-benar bertaraf profesional atau status itu hanyalah wayang semata-mata.

Hal ini kerana, sejak ditukar statusnya dari semi pro kepada profesional pada 1993, hampir kesemua kelab bertanding dalam saingan Liga M tidak mempunyai pemilikan penuh stadium.

Berdasarkan statistik, hanya terdapat dua kelab iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United mempunyai ‘rumah’ sendiri manakala pasukan lain yang bertanding dalam saingan Liga M hanya sekadar berharap kepada ihsan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dengan membayar sewa untuk mencari tempat berteduh.

Lebih memalukan apabila, terdapat kelab liga divisyen bawah di Thailand mempunyai pemilikan penuh stadium berbanding kelab gergasi Malaysia yang pernah bersaing sehingga ke peringkat Asia.

Pemerhati sukan bola sepak negara, Mohd Azraai Khor Abdullah berpandangan, rata-rata kelab di Malaysia tidak mendapat pemilikan penuh terhadap ‘rumah’ didiami mereka disebabkan budaya pihak pengurusan terdahulu yang tidak menitikberatkan perkara berkenaan.

“Kebanyakan kelab di Malaysia ketika ini, terutamanya pasukan gergasi mereka tidak ada stadium sendiri berpunca daripada budaya pihak pengurusan terdahulu. Sebab ketika liga kita berstatus amatur tiap-tiap negeri ini lazimnya akan guna aset kerajaan negeri tidak kira untuk sesi latihan atau venue perlawanan.

“Jadi ketika itu, bila mereka gunakan fasiliti berkenaan mereka tidak ada kesedaran untuk memiliki stadium atau pusat latihan sendiri. Malah sampai sekarang budaya itu masih diterapkan dengan berharap kepada kerajaan negeri walaupun kelab sudah diswastakan.

“Budaya ini seharusnya perlu diubah sebab sekarang kita sudah liga profesional dan bukannya semi pro atau amatur. Kalau boleh setiap pasukan itu mesti ada hak ke atas stadium kerana ia akan memberi kelebihan kepada mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Dalam pada itu Azraai berkata, kelab Liga M mungkin boleh menjadikan Liga Thailand sebagai rujukan bagi menyelesaikan isu pemilikan stadium yang melanda mereka sejak dahulu.

Beliau percaya sekiranya kelab di Liga M mempunyai hak ke atas pemilikan stadium, ia bukan sahaja bakal menguntungkan pelbagai pihak malah ia akan menyumbang kepada kemajuan bola sepak di negara ini.

“Kita tidak payah pergi jauh melihat liga Eropah sana. Paling dekat kita boleh lihat jiran kita Thailand bagaimana bukan sahaja kelab besar seperti Muang Thong dan Bangkok Glass malah ada kelab kecil yang merupakan daerah iaitu Puranchok ada stadium sendiri.”

Saya percaya jika semua kelab di Liga M kita memiliki stadium sendiri, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kelab itu sendiri, malah kepada orang setempat dan juga perkembangan sukan bola sepak itu sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top