Stéphan jadi taruhan baharu QPR

Stéphan jadi taruhan baharu QPR
Stéphan pengendali baharu QPR ganti Martí Cifuentes. Foto Agensi

Stéphan pengendali baharu QPR ganti Martí Cifuentes. Foto Agensi

KELAB Liga Kejuaraan, Queens Park Rangers (QPR) secara rasmi mengumumkan pelantikan Julien Stéphan sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu.

Pengendali kelahiran Perancis berusia 44 tahun itu menggantikan Martí Cifuentes, yang sebelum ini diletakkan di bawah cuti bergaji sejak April dan kini telah meninggalkan kelab secara rasmi pada Rabu.

Stéphan bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak Eropah. Beliau pernah mencipta sejarah bersama Stade Rennais apabila membimbing kelab Ligue 1 itu menjuarai Piala Perancis 2019, selain berjaya membawa Rennes layak ke Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah mereka pada musim berikutnya.

Selepas kejayaan tersebut, beliau meneruskan kerjaya ke Strasbourg selama 18 bulan bermula 2021 sebelum kembali ke Rennes. Namun, penggal keduanya bersama Rennes berakhir pada November tahun lalu selepas kelab itu hanya meraih tiga kemenangan daripada 10 perlawanan awal Ligue 1 musim tersebut.

Pelantikan Stéphan hadir selepas QPR menamatkan saingan Liga Kejuaraan musim lalu di kedudukan ke-15, hanya tujuh mata memisahkan mereka daripada zon penyingkiran – satu keputusan yang dianggap mengecewakan oleh penyokong serta pihak pengurusan kelab.

“QPR ialah sebuah kelab bersejarah dengan nilai-nilai yang kukuh serta penyokong yang bersemangat.

“Saya berasa amat berbesar hati menyertai kelab ini. Saya memilih untuk datang ke sini kerana tahu terdapat semangat luar biasa di sekeliling kelab dan pasukan. Saya benar-benar bersyukur dapat merasai pengalaman ini,” katanya dalam kenyataan rasmi kelab.

Pelantikan ini dijangka menjadi titik permulaan baharu buat QPR dalam usaha membina semula pasukan menjelang musim 2025/26, dengan sasaran memperbaiki pencapaian dan mengukuhkan kedudukan dalam Liga Kejuaraan.

Scroll to Top