London: Raheem Sterling mengetuai senarai sembilan pemain Chelsea yang kini tidak termasuk dalam perancangan skuad utama.
Bekas pemain antarabangsa England berusia 30 tahun itu bersama lapan lagi pemain langsung tidak mempunyai profil atau gambar dalam bahagian skuad utama di laman rasmi Chelsea.
Masa semakin suntuk untuk Chelsea mencari kelab baharu bagi pemain-pemain tidak diperlukan, selepas Sterling dan yang lain kembali menyertai skuad semalam setelah diberikan cuti susulan penyertaan dalam Piala Dunia Kelab.
Chelsea sekali lagi berbelanja besar pada musim panas ini, dengan Joao Pedro bernilai £60 juta (RM337 juta) antara beberapa pembelian yang menyebabkan jumlah skuad utama meningkat kepada 47 pemain.
Pihak pengurusan di Stamford Bridge kini hampir menjual penyerang Armando Broja dan pemain tengah Lesley Ugochukwu, dua pemain yang tidak disenaraikan di laman web rasmi kelab kepada Burnley.
Namun selain graduan akademi seperti Broja dan Alfie Gilchrist, terdapat tujuh pemain termasuk Ugochukwu yang dibeli Chelsea dengan jumlah melebihi £200 juta (RM1.12 bilion) secara keseluruhan, tetapi masih tidak mempunyai profil di laman web walaupun mereka secara rasmi masih bersama kelab.
Dalam kalangan 31 pemain yang disenaraikan sebagai pemain skuad utama oleh Chelsea, terdapat juga nama besar seperti Christopher Nkunku yang masih boleh meninggalkan kelab sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September.
Pemain sayap Ukraine, Mykhailo Mudryk, yang berdepan penggantungan akibat gagal ujian dadah masih mempunyai gambar profil walaupun memakai jersi musim lalu.
Termasuk enam pemain yang sudah dipinjamkan, Chelsea kini berdepan jumlah pemain dan ejen sangat besar untuk diuruskan.
Itu belum termasuk sebarang pembelian baharu, dengan pemain RB Leipzig Xavi Simons dan bintang Manchester United Alejandro Garnacho masih berada dalam radar mereka.
Sterling yang dibeli dari Manchester City dengan harga £47.5 juta (RM267 juta) pada 2022, dan bekas pemain England Ben Chilwell, yang tiba dari Leicester dengan harga £50 juta (RM281 juta) pada 2020 disisihkan selama lebih setahun.
Sterling menyertai Arsenal secara pinjaman saat akhir musim panas lalu.
Chilwell dan Axel Disasi, yang dibeli dengan harga £38 juta (RM213 juta) dari Monaco pada 2023, menghabiskan separuh kedua musim lalu secara pinjaman di Crystal Palace dan Aston Villa masing-masing.
Pemain tengah Carney Chukwuemeka, yang dibeli dari Aston Villa pada 2022 dengan nilai permulaan £15 juta (RM84 juta) kembali ke padang latihan selepas enam bulan dipinjamkan ke Borussia Dortmund.
Begitu juga dengan pemain tengah Lesley Ugochukwu, yang dibeli dengan harga £23.5 juta (RM132 juta) dari Strasbourg pada 2023, kini memasuki minggu ketiga menjalani latihan di Cobham selepas kembali dari pinjaman semusim di Southampton.
Antara pemain Chelsea yang dipinjamkan musim lalu, Renato Veiga mungkin yang paling berjaya meningkatkan nilai dirinya, semasa tempoh enam bulan di Juventus.
Namun, pemain antarabangsa Portugal itu, yang perpindahan mahalnya ke Atletico Madrid dilaporkan gagal, masih tidak cukup menyerlah untuk mendapat tempat di laman rasmi Chelsea.
Perkara sama berlaku kepada penyerang dari Ivory Coast yang semakin dilupakan, David Datro Fofana (DDF).
Pemain yang dibeli dengan harga £10.5 juta (RM59 juta) dari Molde pada Januari 2023 itu kembali awal dari pinjaman di kelab Turki, Goztepe, musim lalu selepas mengalami kecederaan serius.
DDF kembali berlatih sejak sekian lama tetapi merupakan antara pemain yang bakal meninggalkan Chelsea.
Pihak pengurusan kelab masih mempunyai banyak kerja untuk memastikan Maresca mempunyai skuad yang bersaiz boleh dikawal.
Bekas pengurus Chelsea, Graham Potter, pernah mendedahkan beliau memiliki terlalu ramai pemain sehingga ada yang terpaksa duduk di lantai semasa mesyuarat pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd