Stesen janakuasa India didakwa berjaya digodam Pakistan

Stesen janakuasa India didakwa berjaya digodam Pakistan

ISLAMABAD – Media rasmi Pakistan mendakwa sistem tenaga India telah digodam dalam satu serangan siber sebagai sebahagian daripada Operasi Bunyanun Marsoos, yang dilancarkan oleh tentera Pakistan sebagai tindak balas terhadap serangan udara India baru-baru ini.

Laporan itu disiarkan menerusi saluran televisyen kerajaan PTV News, yang memetik bahawa beberapa stesen janakuasa utama di India telah menjadi sasaran serangan siber yang dipercayai dilakukan oleh unit pertahanan siber Pakistan.

Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut belum dapat disahkan secara bebas dan setakat ini, kerajaan India masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Menurut laporan berkenaan, serangan tersebut telah menyebabkan gangguan teknikal pada beberapa sistem kawalan tenaga, namun butiran lanjut mengenai tahap kerosakan atau kawasan yang terjejas tidak didedahkan, lapor Al Jazeera.

Ketegangan antara India dan Pakistan kembali memuncak selepas insiden serangan berdarah di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang awam. India menuduh kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan bertanggungjawab atas serangan itu.

Sebagai tindak balas, India telah melancarkan beberapa serangan udara ke atas sasaran ketenteraan di wilayah Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan, termasuk Pangkalan Udara Nur Khan, Shorkot dan Murid.

Pakistan kemudiannya mengumumkan pelancaran Operasi Bunyanun Marsoos, yang membawa maksud “tembok yang tidak dapat dirobohkan”, sebagai tindakan balas yang menyasarkan pangkalan udara serta kemudahan pertahanan strategik India.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kedua-dua negara telah meningkatkan keupayaan peperangan siber mereka sebagai satu bentuk strategi ketenteraan baharu.

India dan Pakistan masing-masing mempunyai unit keselamatan siber yang aktif dan dipercayai sering menguji kekuatan antara satu sama lain dalam ruang siber, termasuk menyerang sistem komunikasi, tenaga dan pertahanan.

Serangan terhadap stesen janakuasa boleh menyebabkan gangguan besar terhadap bekalan elektrik, menjejaskan perkhidmatan kesihatan, pengangkutan, telekomunikasi dan keperluan harian jutaan penduduk.

Buat masa ini, komuniti antarabangsa termasuk G7 dan Kesatuan Eropah telah menyeru kedua-dua negara agar menahan diri dan mencari penyelesaian diplomatik segera bagi mengelakkan konflik berskala besar yang boleh mengancam kestabilan serantau.

Scroll to Top