Stewart rangkul kemenangan pertama di Dauphine

Stewart rangkul kemenangan pertama di Dauphine

Macon: Pelumba Britain, Jake Stewart mencatat kemenangan pertama dalam karier Jelajah Dunia apabila menjuarai peringkat kelima Criterium du Dauphine hari ini selepas menewaskan pencabar lain dalam pecutan berkelompok di penghujung perlumbaan.

Wakil pasukan Israel Premier Tech itu menamatkan perlumbaan sejauh 183 kilometer (km) dari Saint Priest ke Macon dengan mengatasi pelumba tuan rumah Axel Laurance dan pelumba Norway, Soren Waerenskjold di garisan penamat.

“Kemenangan ini sangat bermakna,” kata pelumba berusia 25 tahun itu, yang sebelum ini menamatkan peringkat pertama di tempat kelima.

“Pasukan memberikan kepercayaan penuh, mereka bekerja keras untuk membawa saya ke posisi terbaik, dan saya sangat gembira kerana dapat menghadiahkan kemenangan ini untuk mereka.”

Israel Premier Tech turut berdepan cabaran apabila pelumba pecut mereka, Pascal Ackermann, terpaksa menarik diri selepas terjatuh dalam perlumbaan.

“Ia sangat mengecewakan kerana Ackermann terpaksa berundur selepas terjatuh sekali lagi, dan saya ambil alih untuk penamat. Hari ini juga sepatutnya miliknya,” tambah Stewart.

Sementara itu, pendahulu keseluruhan Remco Evenepoel dari Belgium kekal menyarung jersi kuning walaupun terjatuh pada kilometer terakhir.

Bagaimanapun, dia bangkit tanpa sebarang kecederaan serius dan tidak kehilangan sebarang masa dalam kedudukan keseluruhan.

“Hanya calar sikit. Saya tergelincir ketika keluar dari bulatan dan mahu memecut, mungkin tangan saya licin akibat hujan, atau saya kayuh terlalu awal,” kata Evenepoel.

Evenepoel dijangka berdepan saingan sengit di pergunungan Alps menentang juara bertahan Tour de France, Jonas Vingegaard dan bintang Slovenia, Tadej Pogacar.

Pelumba Itali, Jonathan Milan yang sebelum ini menang peringkat kedua di Issoire, tampil sebagai pilihan untuk penamat pecut namun terpaksa berpuas hati di tempat kelima selepas gagal mengekalkan rentak mendaki di Cote des Quatre Vents (5.4km pada 4.6%).

Peringkat keenam esok bakal menguji pelumba dalam laluan berbukit sejauh 126.7km dari Valserhône ke Combloux, berhampiran sempadan Switzerland.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top