Stormie yakin SRG mampu kekal kejuaraan kali kelima berturut-turut

Stormie yakin SRG mampu kekal kejuaraan kali kelima berturut-turut

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain Selangor Red Giants (SRG), Haziq Danish Mohd Rizwan yakin mereka mampu mengekalkan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut pada saingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Liga Profesional Malaysia (MPL MY) musim ke-17 ini.

Bagi Haziq atau dikenali sebagai Stormie, dia melihat SRG mempunyai kekuatan tersendiri untuk memastikan mereka terus berada di puncak meskipun musim ini terdapat beberapa pasukan baharu menyertai MPL MY.

Katanya, kemasukan Muhammad Danish Fitri Razman atau Unii dilihat menambah kekuatan pasukan dan memberi pilihan kepada jurulatih menyusun strategi dengan lebih mantap selepas ini.

“Saya yakin dengan barisan baharu ini dan kemasukan Unii, kita akan juara lagi,” katanya ringkas tetapi memberi mesej cukup bermakna dan amaran awal kepada pasukan lain.

Ketika ditanya mengenai setiap pasukan akan bermain dua pusingan, Stormie melihat pasukannya sudah melakukan persediaan rapi untuk menghadapi situasi seperti itu.

“Saya dan Yums (Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi) berpengalaman kerana kami pernah melaluinya ada musim kesembilan tetapi pemain lain saya tidak pasti.

“Bagi saya perkara itu biasa sahaja sebab kita sudah berlatih stamina melalui penyertaan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

“Jadi, bagi saya ia dijangka tidak akan memberi masalah,” katanya.

Selain Stormie, Yums dan Unii, SRG mengekalkan barisan sedia ada seperti Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) dan dua pemain import dari Filipina, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent).

Selain itu, pemain berusia 21 tahun itu tidak sabar untuk bertemu Team Rey dan pendatang baharu, All Combo (AC) kerana ingin membuktikan dirinya adalah yang terbaik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top