STR Fasa 4 diawalkan, 8.8 juta penerima terima mulai 18 Oktober

STR Fasa 4 diawalkan, 8.8 juta penerima terima mulai 18 Oktober

kartika@mediaprima.com.my

Putrajaya: Seramai 8.8 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 akan menerima bayaran Fasa 4 mulai 18 Oktober ini, lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan November, sempena sambutan Deepavali.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi pembayaran kali ini dengan kadar antara RM100 hingga RM700 bergantung kepada kategori penerima.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah mempercepatkan pembayaran terbabit selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan bantuan kewangan sampai kepada rakyat tepat pada masanya.

“Tekad Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan bantuan yang membabitkan agihan limpahan negara ini dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat.

“Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MOF, pembayaran Fasa 4 turut merangkumi 200,000 pemohon baharu yang diluluskan bagi STR 2025, dengan penyaluran kepada kumpulan ini dijadualkan bermula pada 13 November 2025.

Jumlah penerima keseluruhan juga meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah berbanding 8.3 juta penerima pada Fasa 1 Januari lalu, hasil pelaksanaan dasar baharu kerajaan yang membenarkan permohonan serta rayuan STR dibuka sepanjang tahun.

Bagi pembayaran kali ini, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran secara terus dikreditkan ke akaun masing-masing antara 18 hingga 24 Oktober, manakala penerima tanpa akaun bank termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan boleh menuntut bayaran tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 21 Oktober ini.

Selain itu, kategori penerima STR Fasa 4 terdiri daripada isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah seramai 3.1 juta orang yang akan menerima antara RM200 hingga RM700, isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 seramai sejuta orang dengan kadar antara RM100 hingga RM350, warga emas tiada pasangan seramai 1.3 juta orang yang menerima RM150 dan kategori bujang seramai 3.4 juta orang yang turut menerima RM150.

Kerajaan turut memaklumkan pendaftaran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 akan dibuka sepanjang tahun bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang menerima manfaat bantuan kerajaan.

Sementara itu, bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan dan disemak bersama maklumat daripada agensi berkaitan bagi menentukan kelayakan STR dan SARA 2026 mengikut syarat yang ditetapkan.

Langkah ini turut membabitkan penyelarasan data daripada beberapa agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), eKasih, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) serta institusi zakat dan baitulmal negeri.

Pendekatan ini juga bertujuan mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

Dalam pembentangan Belanjawan MADANI Keempat pada 10 Oktober lalu, Anwar mengumumkan bahawa peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 mencecah RM15 bilion sebagai komitmen berterusan kerajaan membantu rakyat mendepani tekanan kos sara hidup.

Orang ramai boleh membuat semakan status dan mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Kementerian Kewangan turut mengingatkan penerima agar sentiasa berwaspada terhadap pautan palsu dan mesej penipuan (scam) kerana kementerian tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top