bhrencana@bh.com.my
DUA jawatan tertinggi agensi penguatkuasaan di negara ini yang menjadi tumpuan umum ialah Ketua Polis Negara (KPN) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kedua-dua kedudukan yang datang bersama tanggungjawab dan harapan tinggi ini, memberikan tekanan kepada penjawatnya, malah menjadi antara jawatan paling sukar dalam perkhidmatan awam.
Tidak cukup dengan itu, kedua-duanya sering dianggap paling mencabar dan tidak popular, tetapi sangat berkuasa.
Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani secara rasminya dilantik sebagai KPN baharu, Isnin lalu. Beliau menjadi KPN Ke-13 selepas mengambil alih jawatan daripada penyandangnya, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang berkhidmat sejak Mei 2019.
Pasukan polis bertanggungjawab menjaga undang-undang dan ketenteraman, menyelamat serta melindungi nyawa dan harta benda kita. Mereka mempertaruhkan nyawa untuk melaksanakan tugas itu demi berkhidmat kepada masyarakat.
Adakalanya, apa yang mereka lakukan kurang mendapat pujian, meskipun melaksanakan tugas itu tanpa mengenal penat lelah.
Sebelum bersara, Abdul Hamid menyentuh peranan dan kebebasan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP). Bekas KPN, Tun Hanif Omar turut menyentuh isu ini dengan menegaskan Akta Polis memberikan kuasa penuh kepada KPN untuk mengendali dan mengawal pasukan keselamatan itu.
Kebebasan pasukan polis selepas ini bergantung kepada strategi diambil KPN baharu ini. Pada permulaan, beliau mengenal pasti tiga misi utama untuk memperkasakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu memperkukuhkan integriti pasukan, sistem penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan masyarakat.
Kita menyambut baik kerana integriti mendapat perhatian KPN baharu. Berdasarkan cabaran terkini, beliau berdepan tugas berat untuk meningkatkan integriti dalam konteks budaya di PDRM. Beliau perlu melangkaui daripada mengadakan program dan latihan dalam perkhidmatan (LDP).
Bagi mendapatkan kembali kepercayaan masyarakat, Acryl Sani perlu meneruskan kesinambungan legasi KPN lalu untuk membersihkan pasukan keselamatan daripada amalan korup dan menyingkirkan elemen menyalahgunakan kuasa serta mencemarkan reputasi polis.
Pasukan polis perlu berhadapan dengan realiti bahawa dalam organisasi itu, ada yang seperti nila setitik mencemarkan susu sebelanga dan perlu disingkirkan. Realiti ini berdasarkan penahanan anggota polis dan pelbagai tinjauan dilakukan.
Contohnya, Global Corruption Barometer 2020 oleh Transparency International menunjukkan pasukan polisi dianggap antara institusi paling korup.
Hakikatnya, PDRM memiliki ramai pemimpin berkebolehan yang bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk membersihkan pasukan itu dan menyingkirkan anggota pada setiap peringkat yang menyalahgunakan kuasa atau mencemarkan imej pasukan.
Kerajaan perlu memberikan sokongan penuh terhadap usaha mereka untuk memperbaiki integriti dalam pasukan, sekali gus menumpaskan sindiket dan jenayah terancang dalam negara.
Adalah penting PDRM dengan sokongan SPP mengenal pasti dan mengiktiraf pemimpin baik dalam organisasi itu untuk mencapai matlamatnya.
Pemimpin baik perlu memiliki tiga kriteria. Pertama, berkualiti. Pemimpin berkualiti boleh dinilai melalui pengalaman dan profesionalisme ketika melaksanakan tugas.
Kedua, berani berpegang dengan kebenaran walaupun diarahkan melakukan sesuatu menyalahi undang-undang.
Ketiga, integriti dan memiliki sifat beretika tinggi dan tidak melakukan sesuatu melanggar undang-undang untuk kepentingan peribadi.
Malangnya, dua kriteria terakhir itu kurang dimiliki banyak pemimpin hari ini. Tanpa kriteria terbabit, sesuatu yang dilakukan polis akan dilihat cacat dan merugikan anggota yang berkhidmat dengan dedikasi dan berintegriti.
Melangkah ke hadapan, agar pasukan polis dapat memulihkan kepercayaan masyarakat, setiap anggota perlu melaksanakan tugas secara profesional dan lebih penting, menunaikan tanggungjawab tanpa menjejaskan integriti.
Tugas itu dilaksanakan dengan mengasingkan politik daripada polis dan memastikan tiada campur tangan politik dalam pentadbiran polis, sekali gus dilihat sebagai langkah terpuji serta jelas untuk mendapatkan kembali keyakinan masyarakat.
KPN perlu melaksanakan kepemimpinan melalui teladan terutama sebagai pegawai polis tertinggi di negara ini dan komited mengangkat integriti, mengawasi serta melatih mereka lebih baik.
Begitu juga, meningkatkan standard kepolisan dan profesionalisme, memperkukuhkan Peraturan Tetap Ketua Polis Negara (IGSO), mengkaji semula program reformasi serta sistem kenaikan pangkat sedia ada, selain membina rasa hormat masyarakat awam terhadap anggota agensi penguatkuasaan undang-undang itu.
Pengalaman Acryl Sani selama 35 tahun dalam pasukan dan memegang pelbagai jawatan kanan, boleh dimanfaatkan untuk memperkukuhkan pasukan polis serta meningkatkan integriti pada semua peringkat.
Pada masa sama, SPP perlu dirombak untuk menjadikan strukturnya lebih mantap dan profesional seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), bukan semata-mata sebagai rubber stamp.
PDRM perlu dipastikan bebas, manakala sebarang campur tangan politik tidak boleh dibenarkan. Beliau perlu secara drastik terus memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalaman, melantik pengarah dalam kalangan pegawai berwibawa dan berintegriti di Bukit Aman serta menghapuskan sindiket dan jenayah terancang.
Semua ini akan terjawab kelak. Strategi dan tindakan Acryl Sani akan memberikan gambaran jelas bagaimana masa depan serta hala tuju PDRM.
Rakyat mahu berbangga dengan pasukan polis, iaitu menjalankan tugas dengan memelihara undang-undang dan ketenteraman awam serta melindungi negara dengan integriti tahap tertinggi.
Mari kita bekerjasama untuk menjadikan semua ini sebagai kenyataan.
Penulis adalah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia
© New Straits Times Press (M) Bhd




