KUALA LUMPUR: Perniagaan sistem jualan langsung atau MLM di negara ini adalah antara industri yang kekal berdaya saing dan menjadi sumber pendapatan individu dan ekonomi negara.
Perniagaan dalam kategori ini menjadi suatu landasan yang memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menambah pendapatan isi rumah, khususnya pada masa kini yang terbeban kerana kos sara hidup tinggi akibat inflasi dan juga ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.
Industri ini juga menjadi titik permulaan bagi individu yang mahu menjana sumber mata pencarian secara tetap atau sampingan ke arah meningkatkan taraf hidup ke arah yang lebih baik.
Bagaimanapun, pemantauan oleh pihak berautoriti dalam mengawal industri ini secara adil amat penting.
Ini berikutan, ada syarikat MLM berlesen dan mematuhi perundangan sedia ada, namun dimanipulasikan apabila sudah mendapat lesen.
Antaranya, memanipulasikan sistem seperti pelan pemasaran yang sentiasa berubah, pemberian komisyen tidak adil, pembelian stok dan mengenakan harga pakej yang tak masuk akal serta yuran keahlian tinggi.
Walaupun ada rungutan dan aduan yang dilaporkan kepada pihak berkuasa, kelewatan pihak berkenaan mengambil tindakan tegas menyebabkan lebih ramai ahli tertipu dan mengalami kerugian jutaan ringgit.
Justeru, kerjasama erat pihak yang berkepentingan sememangnya diperlukan bagi memberikan
keadilan bagi semua pihak, terutama sekali pengguna.
Begitu juga dalam hal berkaitan pematuhan syariah dalam perniagaan MLM, tidak wajar dipandang remeh bagi memastikan isu berbangkit tidak dipertikai oleh mana-mana pihak.
Walaupun keputusan muzakarah pada Februari 2006 sudah memutuskan bahawa: “Konsep, struktur dan undang-undang perniagaan MLM yang diluluskan oleh kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam”, ia adalah satu keperluan bagi sebuah syarikat untuk mendapat keyakinan dan kepercayaan pengguna Muslim dengan memperoleh sijil pematuhan syariah.
Memenuhi komitmen dan tanggungjawab sebagai peneraju dan Ahli Lembaga Penasihat Syariah, Atomy Malaysia Sdn Bhd (Atomy Malaysia), Profesor Emeritus Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid tampil memberikan penjelasan lanjut mengenai isu pematuhan syariah Atomy Malaysia, syarikat jualan langsung yang menawarkan pelbagai produk daripada kegunaan harian sehingga produk kesihatan.
Tohmahan tidak berasas
Syarikat luar negara itu sebelum ini, dikritik dan diserang hebat oleh masyarakat tahun lalu dengan pelbagai tohmahan tidak berasas, khususnya membabitkan tiada patuh syariah sehingga mengakibatkan ramai ahlinya keluar daripada syarikat.
Mahmood Zuhdi yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang syariah dan muamalah Islam, berkata selepas mengambil masa selama setahun dalam menyelidiki dan membuat kajian terhadap isu kristianisasi yang menyelubungi Atomy Malaysia dan syarikat induknya, beliau bersama rakan penasihat syariah lain mengisytiharkan bahawa syarikat itu kini patuh syariah.

Katanya, keputusan itu diambil selepas syarikat itu menepati peruntukan parameter syariah yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selain beberapa siri auditan serta saringan ketat yang merangkumi aspek kewangan, operasi, pentadbiran, pelan pemasaran dan juga aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat.
“Meskipun pada mulanya banyak kekurangan dalam mengimplementasi aspek muamalah dan keperluan syariah dalam syarikat berkenaan, ia sudah dapat diatasi secara berperingkat.
“Pada mulanya ia sukar kerana tidak disertakan beberapa dokumen penting seperti butiran akaun rasmi syarikat induk, insurans dan juga laporan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Tiada agenda tersembunyi
“Namun, keterbukaan pengurusan syarikat induk selain kerjasama erat dan ampuh yang diberikan oleh semua pihak, termasuk presiden syarikat berkenaan tanpa melindungi apa-apa kepentingan mahupun menyembunyikan agenda peribadi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang menjawat jawatan Pengerusi Majlis Dakwah Negara, berkata tanggungjawabnya
sebagai Ahli Lembaga Penasihat Syariah, Atomy adalah peranan penting yang harus dipikul dalam mendidik masyarakat Islam itu sendiri.
“Saya berasakan selepas mengumumkan syarikat Atomy Malaysia patuh syariah Mei lalu, masyarakat Melayu Islam kini boleh bergiat aktif.
“Malah, menerusi platform Atomy itu sendiri, ia boleh dijadikan sebagai satu wadah untuk masyarakat secara keseluruhan dalam mengatasi masalah ekonomi yang kini semakin membelenggu negara,” katanya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kelantan.
Katanya lagi, ini adalah satu peluang amat baik bagi ummah yang akhirnya dapat mengurangkan jurang perbezaan ekonomi.
Mahmood Zuhdi pada masa sama turut menasihatkan agar sebarang perbezaan pendapat, keraguan dan lain-lain isu berbangkit berkenaan syarikat dibawa kepada lembaga penasihat sedia ada.
“Saya akan bekerjasama dengan semua pihak berautoriti agama seperti JAKIM dan Jabatan Mufti Negeri di seluruh negara bagi merungkaikan masalah dan persepsi yang tercetus berkenaan syarikat berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




