Strategi taktikal penentu siapa juara- Maresca

Strategi taktikal penentu siapa juara- Maresca

EAST RUTHERFORD : Pengurus Chelsea, Enzo Maresca menyifatkan perlawanan akhir Piala Dunia Kelab menentang Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi esok sebagai satu permainan catur.

Kedua-dua pasukan kuasa besar bola sepak Eropah itu akan berebut kejuaraan dunia di Stadium MetLife, New Jersey.

Maresca menekankan betapa pentingnya aspek taktikal dalam pertembungan tersebut, apatah lagi menentang pasukan bimbingan Luis Enrique yang terkenal dengan pendekatan teknikal dan struktur permainan yang tersusun.

“Saya sangat meminati permainan catur dan melihat banyak persamaan antara catur dan bola sepak. Dalam bola sepak, pengurus tidak semestinya membuat ‘gerakan catur’ terlebih dahulu, tetapi perlu bijak memberi reaksi terhadap perubahan yang dilakukan oleh lawan,” katanya.

Beliau menyifatkan perlawanan menentang PSG sebagai satu cabaran taktikal yang unik, namun percaya anak buahnya mampu menyesuaikan diri dan memberi saingan kompetitif sepanjang 90 minit aksi.

“Luis Enrique adalah antara pengurus terbaik dunia. Sudah tentu, ini akan menjadi satu ‘permainan catur’ yang kompleks. Tetapi kami akan cuba menikmatinya dan menunjukkan kemampuan sebenar kami,” ujarnya.

Sepanjang kempen Piala Dunia Kelab kali ini, Chelsea menunjukkan keseimbangan antara kekuatan pertahanan dan kreativiti serangan, dan Maresca tidak menyembunyikan rasa hormat terhadap keupayaan PSG yang disifatkannya sebagai pasukan bertaraf dunia.

“PSG bukan sahaja memiliki pemain bertaraf bintang, malah Luis Enrique sendiri merupakan rujukan taktikal buat ramai pengurus muda, termasuk saya. Bersama Pep Guardiola, beliau adalah antara yang terbaik dalam bola sepak ketika ini,” kata Maresca penuh penghargaan.

Meskipun menyedari cabaran getir yang menanti, Maresca menegaskan bahawa Chelsea tidak akan mengubah identiti permainan mereka, malah berjanji untuk kekal dengan gaya tersendiri yang telah membawa mereka ke pentas final.

“Kami tahu siapa lawan kami, tetapi kami juga ada pendekatan dan falsafah sendiri. Dalam perlawanan sebelum ini, kami telah menunjukkan corak permainan yang kami mahu bawa dan kami akan kekalkan momentum itu.”

Chelsea mara ke final selepas menewaskan kelab Brazil, Fluminense dengan kemenangan 2-0, hasil dua jaringan daripada pemain baharu mereka, Joao Pedro yang mencuri tumpuan dengan persembahan bertenaga di separuh akhir.

Namun, ketika ditanya mengenai peluang Joao Pedro untuk berada dalam kesebelasan utama menentang PSG, Maresca masih berteka-teki dan memilih untuk tidak mendedahkan perancangannya lebih awal.

“Joao Pedro adalah pemain yang sangat berkualiti. Kami mendapatkannya kerana percaya dia mampu menyumbang besar kepada pasukan. Tapi kami masih ada masa 48 jam lagi sebelum sepak mula, jadi kita akan lihat nanti sama ada dia akan diturunkan atau tidak,” jelas Maresca.

Perlawanan ini bukan sahaja menjanjikan aksi bertaraf tinggi antara dua kelab terkaya Eropah, malah ia juga akan mencipta sejarah sebagai edisi sulung kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA yang diperluas, dijangka menjadi pembuka tirai menjelang Piala Dunia 2026 di Amerika Utara dan merevolusikan landskap bola sepak kelab global.- AGENSI

Scroll to Top