Pemandu Formula Satu (F1), Lance Stroll disahkan cergas untuk beraksi di Grand Prix (GP) Kanada hujung minggu ini selepas pulih daripada masalah kesakitan pada tangan dan pergelangan, menurut pasukannya Aston Martin.
Pelumba berusia 26 tahun itu terpaksa menarik diri daripada GP Sepanyol pada 1 Jun lalu akibat kesakitan berterusan sejak beberapa minggu, yang menurut pakar perubatannya berpunca daripada pembedahan susulan kemalangan basikal pada 2023.
“Kami dengan sukacitanya mengesahkan bahawa Lance Stroll akan kembali bersama pasukan untuk berlumba di Montreal hujung minggu ini,” kata Aston Martin dalam satu kenyataan.
“Dia menjalani prosedur perubatan yang berjaya untuk menyelesaikan simptom yang dialaminya dan sempat melengkapkan beberapa pusingan ujian menggunakan jentera lama F1 di Litar Paul Ricard awal minggu ini.
“Lance kini berada dalam keadaan cergas dan sihat, serta bersemangat untuk berlumba di hadapan penyokong sendiri.”
Aston Martin tidak dapat menggantikan Stroll pada perlumbaan di Sepanyol kerana dia sudah menyertai sesi kelayakan dan menamatkan saingan di tempat ke-14 di Litar de Barcelona-Catalunya.
“Saya teruja untuk kembali memandu bersama pasukan bagi GP di tanah air saya hujung minggu ini. Saya memang sentiasa berazam untuk berlumba di depan penonton Montreal,” kata Stroll.
“Saya rasa baik selepas menjalani prosedur tersebut dan telah membuat beberapa pusingan di Paul Ricard untuk persiapan. Terima kasih atas semua sokongan, jumpa anda hujung minggu ini!”
Setakat ini, Stroll menghuni tangga ke-12 dalam kedudukan kejuaraan pemandu dengan 14 mata, manakala pelumba Australia dari pasukan McLaren, Oscar Piastri mendahului carta dengan 186 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd