Struktur tersusun jadi senjata sulit Ducati

Struktur tersusun jadi senjata sulit Ducati

Struktur tersusun jadi senjata sulit Ducati

Kamarulzaidi Kamis

sukan@hmetro.com.my

Sepang: Kejayaan Ducati mendominasi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bukan hanya bergantung kepada kepantasan jentera Desmosedici GP atau kehebatan pelumbanya, sebaliknya turut dipacu struktur organisasi dan budaya kerja pasukan yang tersusun.

Ketua Komunikasi MotoGP Ducati Corse, Artur Vilalta, berkata cara pasukan beroperasi serta pembahagian tanggungjawab yang jelas antara setiap anggotanya menjadi antara faktor utama di sebalik kejayaan pengeluar Itali itu.

Beliau berkata, pencapaian sesebuah pasukan perlumbaan memerlukan kerjasama menyeluruh dengan setiap anggota memahami peranan masing-masing, selain bergerak seiring ke arah matlamat sama.

“Mungkin cara kami bekerja adalah antara kuncinya. Bukan rahsia sebenarnya, tetapi salah satu faktor utama ialah struktur pasukan.

“Semua orang berada pada kedudukan yang betul dan mengetahui dengan tepat peranan masing-masing,” katanya dalam temu bual eksklusif di sini pada Jumaat.

Vilalta berkata, setiap individu dalam organisasi mempunyai tanggungjawab penting bagi memastikan Ducati mampu mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi.

Katanya, selain struktur yang tersusun, kepemimpinan Pengurus Besar Ducati Corse, Luigi ‘Gigi’ Dall’Igna, memberikan kelebihan tersendiri kepada pasukan.

Beliau berkata, pengalaman luas Dall’Igna, kaedah kerjanya serta kebolehan menguruskan pelumba menjadi sumber motivasi kepada seluruh anggota pasukan.

“Memiliki jurutera seperti Gigi Dall’Igna adalah sesuatu yang istimewa kerana pengalaman beliau, cara beliau bekerja dan bagaimana beliau menguruskan pelumba turut memberikan motivasi kepada semua orang,” katanya.

Di bawah kepemimpinan Dall’Igna, Ducati bukan sahaja membangunkan antara jentera paling kompetitif dalam MotoGP, malah berjaya mewujudkan sistem kerjasama yang menggabungkan pasukan utama dengan pasukan satelitnya.

Kekuatan pendekatan itu dibuktikan apabila Ducati meraih Kejuaraan Pengeluar MotoGP bagi enam musim berturut-turut dari 2020 hingga 2025, rekod kemenangan berturut-turut terpanjang dalam kategori berkenaan.

Menurut Vilalta, usaha mempertahankan kejayaan memerlukan Ducati terus menambah baik prestasi motosikal dan kaedah kerja pasukan dari semasa ke semasa.

Katanya, Ducati bukan sahaja bersaing dengan pengeluar lain, malah perlu sentiasa mencabar pencapaian sendiri supaya tidak ketinggalan dalam pembangunan teknologi dan prestasi perlumbaan.

“Cabaran terbesar ialah mengekalkan tahap prestasi dari tahun ke tahun dan musim ke musim. Kami perlu sentiasa memperbaiki prestasi motosikal, malah aliran kerja pasukan,” katanya.

Cabaran berkenaan dijangka lebih besar apabila MotoGP memperkenalkan peraturan teknikal baharu pada 2027, termasuk mengecilkan kapasiti enjin daripada 1,000cc kepada 850cc.

Perubahan lain merangkumi pengurangan penggunaan aerodinamik, larangan peranti pelaras ketinggian jentera, pengurangan jumlah enjin bagi setiap pelumba dan penggunaan bahan api mampan sepenuhnya.

Peraturan baharu itu bakal membuka lembaran berbeza dalam persaingan MotoGP apabila semua pengeluar perlu membangunkan jentera baharu dan menyesuaikan strategi masing-masing.

Bagi Ducati, Vilalta menegaskan cabaran utama bukan sekadar menghasilkan motosikal pantas, tetapi memastikan keseluruhan organisasi terus berkembang dan bekerja secara berkesan bagi mempertahankan kedudukannya dalam MotoGP.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top