Pemergian anak sulung kepada pelakon Amyza Aznan, iaitu Andre Mikhail, 23, yang menghembuskan nafas terakhir pada bulan Ramadan, meninggalkan kesan yang amat mendalam buat suaminya, Khairil Idzar.
Memetik laporoan mStar, pemilik nama Khairil Idzhar Md Nazir bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi. Malah, beliau menyifatkan pemergian anaknya pada bulan penuh keberkatan itu sebagai kekuatan buat dirinya untuk kekal tabah.
Reda dengan pemergian anak

“Dia pergi di bulan Ramadan, itu yang menguatkan saya.
“Saya ada bersama Allahyarham (meninggal), semuanya dipermudahkan. Pemergiannya terlalu mudah,” katanya di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur pada awal pagi Selasa.
Dalam pada itu, Khairil menggambarkan Andre sebagai seorang anak yang baik dan tidak pernah membebankan keluarga walaupun bergelut dengan kanser paru-paru sejak tahun lalu.

“Dia anak yang baik. Tidak menyusahkan saya walaupun dalam keadaan sakit.
“Dia tak dapat bercakap ketika nafas terakhirnya. Doktor dah maklum kepada saya semalam yang keadaannya kritikal,” ujarnya.
Bapa kepad tiga cahaya mata itu memberitahu sepanjang setahun Andre berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga serta menanggung kesakitan, arwah tetap menunjukkan sikap positif dan ceria.

“Anak saya sudah setahun melawan sakit kanser. Dia tetap gembira walau sakit.
“Dia ada tanya kenapa makin lama makin tidak kuat, tapi saya cakap itulah prosesnya,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Salam takziah! Anak sulung Amyza Aznan meninggal dunia
Untuk rekod, Andre menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.30 malam Isnin akibat kanser paru-paru. Jenazah dijadualkan disolatkan di Masjid Al-Khairiah AU3, Keramat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Selangor pada pagi Selasa.
Sumber: mStar (Nazrin Zulkafli)



