Suami digalak poligami bendung jangkitan HIV

Suami digalak poligami bendung jangkitan HIV

JAKARTA: Amalan berpoligami dilihat sebagai penyelesaian terbaik bagi membendung masalah jangkitan HIV dalam kalangan masyarakat. 

Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Gabenor Jawa Barat, Uu Ruzahul Ulum kerana perkahwinan dan poligami dapat menjauhkan diri daripada zina. 

Katanya, perzinaan jelas membawa banyak keburukan seperti menyebarkan penyakit berjangkit HIV dan AIDS. 

“Sekarang, jangkitan HIV sudah tular di Bandung. Bagi mengelakkan golongan suami melakukan seks dengan pelacur, eloklah mereka berpoligami,” katanya lapor Kompas.com. 

Beliau mengulas mengenai ratusan suri rumah di Bandung didapati positif HIV akibat berjangkit daripada suami mereka yang kerap melakukan hubungan seks di luar. 

Berdasarkan data dari Jawatankuasa AIDS Bandung, sebanyak 5,943 kes positif HIV dilaporkan bagi tempoh 1991 hingga 2021 di Bandung, dengan 11 peratus daripadanya adalah suri rumah. 

Data juga merekodkan 6.9 peratus atau 414 kes melibatkan golongan pelajar. 

Dalam pada itu, Ketua Umum Ikatan Ahli Kesihatan Masyarakat Indonesia, Ede Surya Darmawan berkata, penularan virus dalam kelompok rentan tersebut perlu menjadi perhatian bersama.  

Tegasnya, pemerintah diharap dapat membaiki komunikasi risiko dengan meningkatkan pendidikan secara utuh dan menyeluruh kepada seluruh lapisan masyarakat. 

“Misalnya, melengkapi kaunseling atau bimbingan pranikah dengan menekankan risiko perilaku tidak sihat dalam keluarga. 

“Masyarakat perlu faham risiko melakukan hubungan seksual itu bukan dengan pasangan sahaja, apatah lagi bertukar-tukar pasangan kerana risikonya sangat tinggi menyebarkan HIV serta penyakit kelamin lain,” jelasnya. 

Ede Surya berharap pasangan yang akan melangsungkan pernikahan tidak melewatkan sesi kaunseling atau bimbingan pranikah. 

“Sayangilah keluarga dengan berperilaku yang baik. Jangan melakukan hubungan seksual di luar pernikahan, kalau terpaksa juga pakailah alat pelindung. Namun, jangan dijadikan kebiasaaan,” katanya. 

Dalam pada itu, Ede Surya menjelaskan penularan HIV bukan berjangkit daripada kontak rapat yang mempunyai HIV sebelum ini. 

Namun, katanya, jangkitan hanya berlaku dalam dua keadaan itu jangkitan seksual dan jarum suntikan. 

“Pemerintah perlu meningkatkan kempen dan pendidikan melalui Jabatan Kesihatan. Hal ini supaya semua orang sedar perilaku buruk itu mendatangkan keburukan kepada orang lain juga. 

“Petugas kesihatan juga perlu membaiki layanan kesihatan. Kalau ada kes bukan langsung perlu dicari penyebabnya, dengan siapa pesakit berhubungan seksual, dengan siteri atau siapa lagi,” katanya.