Suami hidap kanser mata, keluarga hanya makan telur hancur

Suami hidap kanser mata, keluarga hanya makan telur hancur

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Saya hanya memasak telur hancur untuk dijadikan lauk bagi kami sekeluarga selepas terputus bekalan dapur sejak beberapa hari lalu, Alhamdulillah anak-anak memahami,” kata Norazlin Mohamed Noor, 47.

Menurutnya, kehidupan keluarga berubah selepas suami, Md Nor Khalid, 59, mengalami cacat penglihatan.

Dia berkata, pada November tahun lalu, suaminya menjalani pembedahan di bahagian perut di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas apendiks pecah.

Katanya, selepas pembedahan itu, suami turut menjalani rawatan di hospital hampir dua minggu.

“Dugaan kami luar biasa kerana selepas pembedahan, suami mengalami masalah lebih serius apabila daya penglihatannya berkurangan secara berperingkat hingga kedua belah mata gagal berfungsi dalam tempoh kira-kira empat hingga lima bulan.

“Doktor mengesahkan ia berpunca daripada masalah saraf dan menyatakan tiada rawatan sesuai yang boleh menyembuhkan matanya.

“Malah nasib suami juga umpama jatuh ditimpa tangga apabila pada dua bulan lalu turut didiagnosis mengalami kanser mata tahap empat serta sel kanser didapati hampir merebak ke otak,” katanya yang tinggal di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Rawa 1, Taman Perling, di sini.

Norazlin berkata, suaminya diminta untuk menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan di tisu mata dalam tempoh terdekat namun terpaksa menangguh atas faktor kewangan.

Katanya, dia bukan saja perlu berulang-alik dari HSA ke kediaman untuk mengurus tiga anak malah khuatir keadaan kewangan keluarga semakin buruk.

“Suami sebelum ini bekerja sebagai tukang urut, ketika itu dia memiliki sebuah motosikal namun kini ia sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

“Kami sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sejumlah RM1,100 untuk membiayai sewa rumah RM250, bil utiliti RM200, van sekolah RM200 dan duit belanja sekolah anak,” katanya.

Norazlin berkata, dia terpaksa mencatu penggunaan telur untuk dijadikan lauk hampir setiap hari.

Menurutnya, sekiranya terputus bekalan, suami mahupun anak-anaknya biasa makan roti dengan air sirap bagi mengisi perut.

Katanya, mereka mempunyai tiga anak berusia 14 hingga 17 tahun.

“Yuran sekolah tidak dibayar sehingga ada guru yang bantu menjelaskannya.

“Begitu juga pakaian sekolah anak termasuk seluar anak lelaki sepatutnya sudah digantikan namun sehingga kini kami masih belum dapat membeli yang baru.

“Saya bersyukur kerana anak-anak tidak meragam, mereka memahami situasi kami,” katanya.

Sementara itu, Md Nor berkata, dia yang juga pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) sejak Mei lalu memahami risiko tidak menjalani pembedahan atau rawatan sesuai.

“Kadang-kala kepala saya teramat sakit dan saya berasa mahu menghantuk ke dinding.

“Saya fikir isteri memerlukan wang bagi tambang teksi untuk berulang-alik kerana saya tidak mahu anak terbiar atau tidak terurus di rumah.

“Ia berikutan kami tidak pasti berapa lama rawatan susulan selepas pembedahan di hospital kerana doktor menyatakan ia bergantung kepada keadaan pesakit,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank milik Md Nor Khalid di 101011431337.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top