Suami isteri dalang sindiket dadah terbesar di Sarawak didakwa

Suami isteri dalang sindiket dadah terbesar di Sarawak didakwa

mdroji@bh.com.my

Kuching: Suami isteri dipercayai dalang sindiket dadah terbesar di Sarawak, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine, ketamin dan nimetazepam.

Tertuduh lelaki Tie Teck Hock, 53, menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2).

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar 1,030.80 gram methamphetamine pada 10 malam pada 12 Jun lalu di laluan pejalan kaki sebuah kedai makan di Jalan Pedada, Sibu.

Dia turut didakwa mengikut akta yang sama bersama isterinya Lee Chee Fei, 44, kerana mengedar 6,055.9 gram methamphetamine pada 10.45 malam pada 12 Jun di sebuah bilik stor di bawah tangga sebuah rumah di Lorong Permai Jaya, Sibu.

Jika sabit kesalahan mengikut seksyen itu mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pasangan itu turut menghadapi dua pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 12(2) ABD 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia kerana memiliki 2078.9 gram Ketamin dan dan 2,022.15g dadah kecemasan dan insomnia nimetazepam (dalam bentuk pil Erimin 5) pada 10.45 malam pada 12 Jun di bilik stor di bawah tangga sebuah rumah di Lorong Permai Jaya.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lika tahun atau kedua-duanya sekali.

Majistret Oon Kork Chern memerintahkan kedua-dua tertuduh direman di Penjara Sibu kerana kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) dan (2) tidak boleh diikat jamin dan berdepan hukuman mati.

Oon turut menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula dan memerintahkan kedua-dua tertuduh yang mempunyai masalah kesihatan diberi ubat yang mencukupi ketika dalam tahanan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, pasangan itu ditahan dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sibu pada 12 dan 13 Jun lalu.

Polis merampas dadah iaitu 7,086.7 gram methamphetamine, 2,078.9 gram ketamin dan 2,022.6 gram pil Erimin 5 serta aset daripada mereka yang berjumlah RM8.5 juta yang menjadi rampasan berkaitan narkotik terbesar di Sarawak.

Turut dirampas wang tunai RM5.16 juta, empat jongkong emas, dua rantai emas, dua jam tangan mewah dan tiga kenderaan mewah.

Siasatan awal menunjukkan pasangan itu adalah dalang utama dalam sindiket pengedaran dadah yang aktif di kawasan Sibu sejak 2015.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top