Suami isteri didakwa aniaya anak hingga mati

Suami isteri didakwa aniaya anak hingga mati

am@hmetro.com.my

Melaka: Pekerja restoran dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan mereka hingga mengalami kecederaan dan meninggal dunia.

Manuel Pangawat, 36, dan Easta Masa Pangala, 40, yang juga warga Indonesia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa berusia sembilan tahun didapati menganiayanya sehingga menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Kota Laksamana, di sini, pada jam 9.45 pagi antara akhir April 2025 hingga 23 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (AKK) 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau dengan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan atas alasan pertuduhan serius, namun mencadangkan ikat jamin RM50,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan jika mahkamah mempertimbangkan jaminan.

Kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah diberikan.

Rohatul Akmar membenarkan Manuel diikat jamin RM15,000 berserta seorang penjamin.

Manakala Easta pula diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin selain syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top