am@hmetro.com.my
Ipoh: Polis menumpaskan sindiket pengedaran cecair dadah bernilai hampir RM1.2 juta yang menggunakan taktik melabel bahan larangan itu sebagai minuman kesihatan sebelum dihantar menggunakan syarikat kurier, Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sepasang suami isteri berumur 30 dan 29 tahun ditahan di Canning Garden, di sini, jam 2.30 petang Khamis lalu ketika sedang melakukan penghantaran bungkusan berisi cecair dadah melalui syarikat kurier yang berada dalam bangunan stesen minyak.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di kaunter kotak mel di bangunan stesen minyak itu menjumpai tiga botol plastik berisi 500 mililiter (ml) cecair methamphetamine, dua botol plastik berisi methamphetamine berisi 260ml setiap satu dan satu botol kaca mengandungi cecair methamphetamine berkapasiti 527ml.
Menurutnya, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang dipandu arah oleh suspek lelaki kemudian ke kediaman pasangan itu di Chemor.
“Di sana polis menjumpai enam botol plastik berisi cecair methamphetamine dengan anggaran isi padu keseluruhan cecair itu 34,784ml.
“Ia menjadikan anggaran keseluruhan isi padu cecair dadah methamphetamine yang dirampas berjumlah 37,331ml membabitkan nilai RM1.19 juta. Tangkapan suami isteri itu dibuat di stesen minyak ketika mereka ingin menghantar bungkusan berisi dadah dipercayai ke luar negara.
“Modus operandi digunakan bagi menghantar dadah itu ialah mengisi dalam botol yang dilabel sebagai produk minuman kesihatan wanita yang mana kita dapati suami isteri itu melakukan sendiri pembungkusan semula dadah yang dihantar,” katanya dalam sidang media di Bilik Sidang Media IPK Perak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek yang mempunyai pekerjaan sebagai jurujual mesin penapis air itu mendapati isteri positif dadah jenis Benzodiazepine manakala suami mempunyai rekod kesalahan lampau kes dadah.
Katanya, dadah yang diedarkan itu langsung tiada kena mengena dengan produk minuman kesihatan yang dilabel pada botol berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di kediaman mereka mendapati dadah itu dibungkus semula dan botol atau produk yang digunakan langsung tiada kena mengena dengan produk kesihatan berkenaan.
“Selain dihantar ke luar negara yang setakat ini kita tidak boleh dedahkan, kita percaya dadah itu juga adalah bagi pasaran tempatan. Ketika ini kita masih menyiasat dari mana bekalan dadah itu diperolehi oleh suspek,” katanya.
Noor Hisam berkata, sebuah Perodua Myvi dianggarkan bernilai RM40,000 milik pasangan itu turut disita.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket dipercayai mula aktif sejak Jun 2024 dengan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 373,331 orang penagih.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan suspek lelaki direman tujuh hari sehingga 27 Mac manakala suspek wanita direman lima hari sehingga 25 Mac bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd