bhnews@bh.com.my
BEAUFORT: Suami isteri dilaporkan hilang selepas pergi melihat tanah yang hendak dibeli di Kampung Ulu Binsuluk, Membakut, Sabtu lalu.
Mangsa Amir Hamjah Abdul Kahfi, 43, dan isterinya Rita Hijiyah Mohd Syuaib, 43, dikatakan keluar dari rumah mereka di Kampung Sabok Baru, Kinarut, jam 9 pagi.
Bagaimanapun pasangan berkenaan tidak kembali ke rumah selama dua hari dan telefon bimbit gagal dihubungi. Berikutan itu, anak pasangan terbabit membuat laporan di Balai Polis Membakut, jam 11 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata susulan laporan itu, sepasukan polis kemudian pergi ke lokasi kejadian dan mendapati kereta Perodua Alza disyaki dinaiki pasangan itu berada di tepi jalan Kampung Ulu Binsuluk.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pasangan terbabit masih belum ditemui,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata operasi pencarian dengan radius dua kilometer sudah digerakkan sebelum ditangguhkan jam 5.30 petang dan akan disambung pagi esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




