am@hmetro.com.my
Kluang: Hasrat pasangan kekasih berstatus suami dan isteri orang merempuh perjalanan lebih 600 kilometer (km) dengan menaiki motosikal untuk bermadu kasih tidak kesampaian apabila dicekup kerana disyaki berkhalwat di hotel di bandar ini, semalam.
Lelaki berusia 50-an dan wanita, 40-an antara empat pasangan dicekup oleh pegawai dan anggota Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi pencegahan maksiat bermula jam 11 malam.
Menurut JAINJ, suami dan isteri orang itu dicekup selepas penguatkuasa terpaksa menunggu lebih 15 minit kerana mereka enggan membuka pintu bilik hotel.
“Penguatkuasa terpaksa ke kaunter untuk mendapatkan kunci pendua. Namun, pasangan itu pula mengunci dari dalam menggunakan kekunci rantai.
“Sebaik berjaya memasuki bilik hotel, mereka kelihatan berpakaian lengkap namun wajahnya dalam keadaan menggelabah sebelum mengaku bukan suami isteri.
“Ketika pemeriksaan, terdapat cadar dijadikan tilam di lantai serta bantal. Lelaki itu memberitahu dia tidur di bawah manakala wanita, atas katil.
“Mereka juga mengaku tidak melakukan perkara tidak baik dan hanya tidur berasingan. Pasangan itu juga memberitahu mereka menyewa bilik berdua kerana mahu berjimat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, serbuan di bilik hotel berikutnya berjaya menahan pasangan berusia 30-an yang membabitkan duda dan anak dara.
“Pasangan ketiga membabitkan lelaki berusia 20-an yang masih bujang manakala wanita berusia 20-an. Wanita ini datang dari Muar untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya di Kluang.
“Lelaki pula datang ke bilik untuk menemani wanita ini yang dikatakan kesunyian kerana tinggal berseorangan. Pasangan terakhir ditahan ialah berusia 20-an yang mana mereka sudah merancang bertemu selepas dapat gaji.
“Kesemua mereka ditahan diambil keterangan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



