hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd akan disambung reman esok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya menerima 31 laporan di Selangor.
“Sebanyak 19 laporan daripada mangsa yang mewakili setiap satu keluarga dan 11 laporan polis dari ejen yang juga mewakili kumpulan kecil dan satu laporan diterima dari Kementerian Pelancongan.
“Esok semua individu yang ditahan akan disambung reman. Siasatan masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, polis menahan pasangan berusia 31 tahun itu selepas mengadakan sidang media bersama sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Ia susulan tujuh laporan polis diterima membabitkan kesalahan penipuan pakej umrah dengan keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM2.1 juta yang dialami 379 mangsa.
Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan sejak 2022, namun berpindah ke premis tiga tingkat di Sepang, sejak Oktober tahun lalu.
Selasa lalu, kecoh di media sosial apabila kira-kira 300 jemaah umrah terkandas apabila penerbangan mereka ke Tanah Suci ditunda syarikat pengendali umrah itu.
Susulan itu, Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan insiden itu dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan 100 peratus pengembalian wang jemaah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




