Suami isteri sebak terima ijazah anak

Suami isteri sebak terima ijazah anak

GEORGE TOWN – “Tiada yang lebih memilukan bagi ibu bapa apabila perlu menjadi pengganti untuk menerima ijazah mewakili anak yang meninggal dunia,” luah Abdul Malek Abdul Samad.

Abdul Malek dan isterinya, Sabariah Nawin hadir bagi menerima ijazah bagi pihak anak mereka, Allahyarham Muhammad Nurshamril, 28, graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Filem dan Penyiaran pada sidang ke-10 Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-60 hari ini.

Menurut pemandu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), anak keempatnya itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika pulang dari pengambaran di Setiu, Terengganu pada Oktober tahun lalu.

Abdul Malek.

Jelasnya, kereta yang dipandu Muhammad Nurshamril terbabas menyebabkan dia maut di tempat kejadian manakala tiga lagi rakannya cedera.

“Beberapa minggu sebelum kejadian, Muhammad Nurshamril sempat mengatur perjumpaan bersama rakannya di Sunway Lagoon bagi berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai bidang berkenaan.

“Saya dimaklumkan bahawa perjumpaan itu adalah bagi mereka berkongsi ilmu dan tidak sangka ia merupakan pertemuan akhir mereka.

“Kami redha, biarpun dia sudah tiada namun ijazah ini akan menjadi pembakar semangat kepada adik beradiknya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Abdul Malek dan Sabariah menerima ijazah anumerta Allahyarham Muhammad Nurshamril daripada Pro Canselor USM, Tan Sri, Dr. Zulkefli A Hassan selepas upacara konvokesyen hari ini.

Terdahulu, Abdul Malek dan Sabariah menerima ijazah arwah anak mereka secara anumerta yang disampaikan oleh Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri, Dr. Zulkefli A Hassan selepas upacara konvokesyen.

Hadir sama adik Allahyarham, Ummul Widad, 15 dan Akhif Al-Atiff, 13.

Mengulas lanjut Abdul Malek berkata, arwah anaknya meminati bidang filem dan penyiaran sejak kecil.

“Apabila berkelapangan atau cuti semester, Muhammad Nurshamril biasanya bekerja sambilan dengan syarikat produksi bagi menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman.

“Sudah tentu saya kagum dengan usahanya selama ini kerana bukan saja dia mengikuti jejak abangnya menceburi bidang filem bahkan mempunyai cara tersendiri membukti minatnya dalam bidang tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top