Suami minta Ummi Nazeera jadi 'duta tisu'

Suami minta Ummi Nazeera jadi 'duta tisu'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya tidak anggap hantaran suami mengenai duta tisu itu serius kerana dia memang suka menyakat,” kata pelakon, Ummi Nazeera, 33, ketika diminta mengulas mengenai perkongsian suaminya, Dr Mohd Izzar Anwari yang meminta syarikat jenama tisu untuk melantik Ummi sebagai duta tisu kerana banyak menangis dalam drama terbarunya, Andai Tiada Dia.

Ummi berkata, dia juga tidak tahu-menahu mengenai hantaran terbaru yang dimuat naik suaminya itu di Instagram.

“Saya masih sibuk menghabiskan baki penggambaran drama itu. Saya juga tak kisah atau menapis kandungan yang dimuat naik suami berkaitan drama lakonan kerana itu terpulanglah padanya kerana ramai pengikut yang terhibur,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, perkongsian Dr Mohd Izzar yang meminta syarikat jenama tisu melantik Ummi sebagai duta mencuri perhatian netizen di media sosial.

Rata-ratanya terhibur dengan hantaran yang dimuat naik itu dan menganggap ia strategi untuk mempromosikan lakonan Ummi dalam drama yang turut menampilkan Hisyam Hamid dan Mimi Lana itu.

Ditanya sama ada hantaran suaminya itu turut membantu mempromosikan drama itu, Ummi berkata, setakat ini, dia mendapat maklum balas sangat positif dalam lakonannya sebagai Suri.

“Alhamdulillah, ramai peminat yang suka dengan cerita itu. Watak Suri mencabar kerana perlu menjadi isteri yang taat walau semua banyak buat silap dan susah untuk melawan perasaan marah itu.

“Walaupun penat hingga berat badan turun sebanyak tiga kilogram tetapi saya gembira dengan maklum balas yang bagus dari penonton termasuk pengikut di media sosial,” katanya yang terbabit dengan penggambaran drama itu sejak September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top