Suami orang, janda antara pasangan ditahan khalwat

Suami orang, janda antara pasangan ditahan khalwat

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menangkap khalwat dua pasangan dalam pemeriksaan berasingan di bilik hotel di Segamat dan Benut, Pontian, malam tadi.

Operasi dijalankan pada malam Maulidur Rasul sekitar jam 12 malam dan 1 pagi oleh penguat kuasa JAINJ.

Menurut JAINJ, seorang lelaki berstatus suami orang yang menetap di bandaraya ini ditahan bersama janda dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Segamat.

“Lelaki dan wanita masing-masing berumur 30-an itu adalah rakan sekerja dan berkenalan di Segamat, bertemu atas alasan kerja.

“Wanita itu adalah janda mempunyai anak dan menetap di Segamat. Hotel disewa atas nama lelaki yang akan dituntut bayarannya dari majikan tempat dia bekerja dengan harga lebih RM180.

“Lelaki ini dihantar bertugas ke Segamat sebulan sekali atau dua kali,” katanya.

Dalam tangkapan di Benut, Pontian pula membabitkan pasangan bujang berumur 20-an.

“Selepas ditangkap pasangan berkenaan merayu kepada penguat kuasa untuk dilepaskan. Pasangan ini dinasihatkan supaya insaf dan bertanggungjawab serta segera bernikah.

“Kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top