Suami sempat pesan bagi rumput kepada lembu, maklum lambat pulang

Suami sempat pesan bagi rumput kepada lembu, maklum lambat pulang

am@hmetro.com.my

Tumpat: “Suami hanya meminta kami menambat dan memberi rumput secukupnya kepada tiga lembu peliharaan selain memberitahu akan lambat pulang ke rumah petang nanti,” kata Che Bunga Yaakob, isteri kepada lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang di laut ketika memancing ikan kerisi.

Che Bunga, 56, berkata, suaminya, Ahmad Husin, 71, berulang alik sebanyak tiga kali mencari rumput yang dipenuhkan dalam motosikal roda tiganya kelmarin sebelum menitipkan pesanan itu kepadanya.

Katanya, sebelum ini tidak pernah diberikan pesanan seperti itu malah dia sendiri tidak terdetik di dalam hati walaupun berasa pelik sehinggalah suaminya hilang dan tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.

“Suami keluar pagi semalam dengan hanya membawa bekal lima pisang nangka rebus dan air mineral sebelum ke jeti Tanjong Kuala, di sini dengan menaiki motosikal roda tiga kerana bot fiber miliknya berada di sana.

“Jam 1 tengah hari semalam saya cuba menghubungi suami tapi tiada liputan dan sehingga jam 3 petang, dia masih belum pulang ke rumah menyebabkan saya berasa risau kerana setiap kali keluar memancing, selalunya dia akan pulang selepas waktu Zohor.

“Saya terus menghubunginya tapi tetap tidak berjawab menyebabkan kerisauan semakin memuncak dan saya segera memberitahu enam anak mengenai kejadian yang menimpa bapa mereka,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Pantai Geting di sini, hari ini.

Che Bunga berkata, suaminya memang minat memancing ikan di laut dan walaupun sering dilarang kerana usia semakin meningkat, namun tidak diendahkan malah memberi alasan, hasil tangkapan dapat dijadikan hidangan untuk mereka berdua.

“Setiap kali keluar memancing, memang sentiasa mendapat hasil ikan kerisi serta cencaru yang banyak dan suami akan jual kepada rakan atau jiran.

“Saya harap suami dapat dijumpai dengan selamat dan kami tidak putus berdoa selain mengadakan solat hajat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)Kelantan, berkata, operasi mencari dan menyelamat warga emas itu dilakukan bersama tiga agensi lain iaitu pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Pasukan Polis Marin (PPM) serta Angkatan Pertanan Awam Malaysia (APM) Tumpat

Menurutnya lagi, pencarian membabitkan 34 anggota itu merangkumi lima batu radius daripada pesisir Pantai Geting namun setakat ini tiada sebarang petunjuk yang dikesan.

“Kita juga sudah memaklumkan kes ini kepada pihak berkuasa Thailand dan akan ada kerjasama dari segi pencarian nanti,” katanya sambil memberitahu akan menambahkan aset untuk operasi esok sekiranya mangsa belum ditemui hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top