Suami tampar isteri di pusat beli belah sudah ditahan

Suami tampar isteri di pusat beli belah sudah ditahan

mhafis@mediaprima.com.my

Sepang: Lelaki yang menampar isterinya di pusat beli belah di sekitar Kota Warisan, di sini, sehingga tular di media sosial ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, lelaki berusia 50an itu ditahan di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan jam 10 pagi tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Suspek yang ditahan akan dibawa ke mahkamah esok untuk perintah tahanan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki menampar isterinya membawa padah selepas tindakannya itu secara tidak sengaja dirakam dalam satu video ‘live’ di media sosial.

Norhizam dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada adik kepada wanita yang ditampar dalam video berkenaan.

Terdahulu satu rakaman video ‘live’ berdurasi 29 saat tular memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah terbabit sambil memegang plastik di tangan kirinya.

Setibanya di pintu keluar premis terbabit, wanita itu tiba-tiba berhenti sejurus melihat kehadiran suspek yang bertopi dan berjalan ke arahnya, sambil memegang tangan seorang kanak-kanak.

Secara tiba-tiba, lelaki berkenaan menampar wajah wanita itu di khalayak ramai sambil mengatakan sesuatu ke arah mangsa, lalu tanpa banyak soal wanita itu dilihat keluar dari premis terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top